Searching...
Showing posts with label PRU13. Show all posts
Showing posts with label PRU13. Show all posts
Friday, 6 July 2012
17:27 0

Menjangka Kekalahan PRU 13 : Anwar Ibrahim Pilih Untuk 'Bersara'

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau bersedia untuk 'bersara' daripada politik jika pembangkang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13, menunjukkan Ketua Pembangkang itu sedar pakatan tidak akan mampu mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Justeru jelas Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip, 'tawaran' tersebut hanya bertujuan meraih simpati rakyat dan pada masa sama Ketua Pembangkang itu mahu menguji kesetiaan para pengikutnya.

Katanya, jika Anwar benar-benar ikhlas mahu bersara beliau tidak akan membuat kenyataan awal dalam akhbar Financial Times, sebaliknya bertindak seperti yang pernah dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat pengumuman mengejut.

"Beliau memang sedar sekarang ini sokongan padu rakyat memihak kepada BN selepas pelbagai transformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Anwar gagal menyaingi kehebatan Najib maka sebab itu beliau membuat kenyataan begitu.

"Anwar mahu meraih simpati rakyat dan juga untuk menguji kesetiaan pengikutnya. Beliau sedar hanya dengan simpati rakyat akan memberi sedikit sokongan kepada pembangkang kerana dari segi idea, Najib lebih hebat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam wawancara dengan Financial Times, Selasa lalu, Anwar membayangkan beliau mungkin bersara daripada politik tanah air dan menjadi pensyarah sekiranya pembangkang tidak berjaya merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Muhammad Zahid berkata, tindakan Anwar membayangkan mahu bersara juga sebenarnya bagi mengalih isu penghakiman penuh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan berlaku penetrasi ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat.

Jelasnya, Ketua Pembangkang itu ketika ini berada dalam keadaan amat tertekan kerana penghakiman penuh tersebut jelas membuktikan liwat ke atas Mohd. Saiful berlaku dan beliau sekarang adalah liabiliti kepada pembangkang, bukannya aset seperti didakwa," katanya.

"Tetapi jika itulah hasrat Anwar, saya menggesa seluruh rakyat menunaikan hasratnya kerana TIBAI menganggap kehadiran beliau yang penuh dengan isu moral dalam politik seperti melukut di tepi gantang, masuk tak tambah, keluar tak kurang tetapi lebih baik tiada," katanya.
Monday, 2 July 2012
06:49 0

Sokongan Kaum Cina Sama Penting Seperti Kaum Lain


KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sokongan kaum Cina bagi membolehkan kerajaan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang adalah sama penting dengan sokongan dari kaum lain.

Beliau berkata, melalui pendekatan dan usaha kerajaan untuk kebajikan rakyat dan negara, sokongan semua rakyat pastinya akan diperoleh terutamanya dari kaum Cina. “Kaum Cina akan sokong kerajaan selepas melihat semua kejayaan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan selama ini dan MCA akan berusaha memastikan sokongan kaum Cina kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival buah-buahan ‘Jom Bentong’ di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan memerlukan sokongan kaum Cina bagi mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata kementeriannya akan mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan oleh St John Ambulans Malaysia (SJAM) bagi mentadbir Pusat Rawatan Hemodialisis mereka.

Sehubungan itu, Liow berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman untuk bertemu segera dengan SJAM.

“Kita tahu mereka semua sukarelawan dan kita sokong mereka. Jadi kita mahu tahu adakah mereka kekurangan doktor serta bantuan lain yang diperlukan. Kementerian tidak mahu mereka menjalankan pusat perubatan yang tidak selamat dan kurang berkualiti,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan bahawa Pusat Rawatan Dialisis SJAM tidak mendapat kebenaran oleh Kementerian Kesihatan untuk beroperasi.
Sunday, 1 July 2012
16:58 0

Kit Siang Nafi Kaum Cina Jadi Undi Penentu


KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan bahawa kaum Cina akan menjadi faktor penentu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Malah, dakwa beliau, kaum Cina di Malaysia juga tidak berhasrat menjadi faktor penentu dalam pilihan raya umum berkenaan.

“Realiti keadaan adalah dengan melihat bilangan pengundi Cina di Malaysia maka mustahil untuk pengundi Cina menjadi faktor penentu dalam PRU Ke-13.

“Kenyataan seperti ini merupakan taktik lama untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Kit Siang mendakwa, pengundi Cina tidak boleh menjadi faktor penentu dalam PRU Ke-13 jika berdasarkan kerusi parlimen.

Dakwa beliau, hanya 89 kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30 peratus jumlah keseluruhan pengundi.

Sebuah portal berita pada 29 Jun lalu melaporkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, beliau percaya keputusan PRU Ke-13 bakal ditentukan oleh pengundi Cina.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata, undi kaum itu bakal menjadi faktor penentu siapakah yang layak mentadbir negara memandangkan Melayu bukan lagi masyarakat majoriti di negara ini.

Jelas beliau, faktor itu juga menjadi punca meningkatnya politik perkauman kerana pada hakikatnya Melayu kini terbahagi kepada tiga parti
Friday, 15 June 2012
08:58 0

Tangguh Haji Kerana PRU 13 : Membatalkan Niat Haji Pertama Kali, Haram Hukumnya - Mufti

SHAH ALAM – Membatalkan niat menunaikan fardu haji kali pertama dengan sengaja adalah haram hukumnya. Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, haji adalah fardu ain kepada mereka yang belum pernah mengerjakannya dan cukup syarat yang ditetapkan.

“Bagi mereka yang berniat untuk mengerjakan haji dan ini adalah kali pertama, di mana cukup bekalannya sepanjang berada di sana dan cukup bekalan yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya di sini dan aman perjalanannya, maka hukumnya wajib.

“Jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi... sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji maka matinya dalam keadaan jahiliah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya menangguhkan niat menunaikan haji pada tahun ini bagi memfokuskan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Kenyataan Tuan Ibrahim itu disokong Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kerana menurutnya, berdasarkan hukum, haji boleh ditangguhkan dan tidak mempunyai tempoh masa untuk ditunaikan seperti mana solat.

Menurut Mohd Tamyes, mereka yang mahu menunaikan haji kali kedua atau ketiga dan seterusnya hukumnya adalah sunat. “Ini terpulang kepada individu sama ada mahu meneruskan niatnya ataupun tidak.

Apabila hukumnya sunat, jika dilakukan pahala ganjarannya dan jika tidak dilakukan tidak berdosa. “Tetapi jika mereka yang telah berniat di dalam ihram dan tiba-tiba mendapat panggilan telefon yang dia terpilih menjadi calon wakil rakyat dan diminta pulang ke kawasan, maka haram hukumnya jika membatalkan niat itu walaupun ianya adalah haji yang kedua atau ketiga,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Tamyes berpendapat, walaupun individu itu pernah menunaikan haji kali pertama dan dapat peluang kedua adalah elok diteruskan niatnya itu. “Bagi mendapatkan kuota haji ini bukan senang, ada yang perlu menunggu berpuluh tahun baru berpeluang menunaikan haji. Pada pandangan saya, rugilah bagi individu itu jika melepaskan peluang yang diperolehinya.

“PRU berlangsung pada setiap lima tahun, tetapi peluang untuk mengerjakan haji bukan mudah untuk diperolehi,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...