Torres bakal meledak: Romeu
MADRID: Pemain tengah Chelsea, Oriol Romeu percaya rakan sepasukannya Fernando Torres akan menjadi pemain tonggak buat Sepanyol pada Kejohanan Eropah walaupun mengalami musim sukar bersama pemenang Liga Juara-Juara itu.
Torres, yang dibeli dengan harga 50 juta (RM245 juta) oleh kelab London itu dari Liverpool pada Januari tahun lalu, menjaringkan hanya 11 gol dalam 48 penampilan buat kelab itu musim ini namun dijangka berada dalam kesebelasan utama apabila Sepanyol memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Eropah menentang Itali, awal pagi Ahad ini.
Namun, Romeu berasakan pengalamannya dalam perlawanan penting dan kerja kerasnya pasti berbaloi buat juara dunia itu.
“Saya fikir Torres akan menjadi pemain paluing penting buat pasukan kebangsaan pada Euro kerana dia seorang pemain dengan kualiti dan pengalaman hebat dan karakter ini amat penting buat seorang penyerang.
“Dia seorang pemain yang amat penting bagi Chelsea. Anda perlu lihat bagaimana penyokong sayangkannya dan menyorak namanya dan dia juga disayangi di kalangan pemain dan pengarah kelab.” Torres mengakui minggu lalu dia amat teruja untuk bermain buat negaranya selepas diketepikan oleh Vicente Del Bosque bagi perlawanan persahabatan menentang Venezuela, Februari lalu dan Romeu percaya pengguguran itu mampu mencetus kebangkitan semangat pemenang Piala Dunia itu.
“Memang jelas apabila anda hilang sesuatu, anda sedar betapa pentingnya ia dan ini yang berlaku dengan Fernando dalam pasukan kebangsaan,” katanya.
“Apabila Del Bosque menggugurkan namanya, beliau turut memberi amaran kepadanya dan dia menerimanya dengan baik, dia bekerja keras hingga hujung musim dan kini dia berada di sana dengan peluang hebat untuk memenangi Kejohanan Eropah sekali lagi.” - Agensi
0 comments:
Post a Comment