ORANG ramai meraikan kejayaan pilihan raya kebangsaan sambil menyaksikan pertunjukan bunga api selepas pusat mengundi ditutup di Benghazi malam kelmarin
Pilihan raya Libya dianggap berjaya
TRIPOLI/BENGHAZI - Rakyat Libya melahirkan rasa lega setelah pilihan raya umum pertama dalam tempoh 60 tahun yang berlangsung kelmarin, berjalan lancar di sebalik beberapa insiden keganasan dan bantahan terpencil.
Pentadbiran peralihan Libya dan kuasa Barat menganggap proses demokrasi tersebut berjaya walaupun dua kematian dilaporkan semasa proses mengundi berlangsung. Keputusan awal pilihan raya tersebut yang diadakan bagi memilih 200 anggota dewan perhimpunan Libya, dijangka diketahui hari ini.
Antara isu yang menanti anggota dewan termasuk kebangkitan kumpulan Islam dan tuntutan kuasa autonomi oleh penduduk di timur Libya termasuk di sini. Dewan itu akan berfungsi sebagai Parlimen sementara Libya sehingga satu lagi pilihan raya diadakan tahun depan .
Di Tripoli, orang ramai bersorak gembira dengan pertunjukan bunga api diadakan di ibu kota Libya itu bagi meraikan kejayaan pilihan raya tersebut. Penduduk bandar raya Benghazi pula itu melepaskan tembakan grenad ke arah laut bagi melahirkan kegembiraan mereka.
Malah di bandar kelahiran bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi, penduduknya turut menarik nafas lega selepas proses pengundian berjalan lancar. Sirte mengalami banyak kerosakan selepas menjadi lokasi pertempuran paling sengit pada tahun lalu ketika bandar berkenaan digempur oleh kumpulan-kumpulan penentang Gaddafi.
"Tuhan Maha Besar, ini zaman kebebasan, Sirte kini bebas," kata seorang wanita tempatan ketika meraikan kejayaan pilihan raya tersebut bersama keluarganya.
Mengulas berhubung pilihan raya tersebut, suruhanjaya pilihan raya Libya menyatakan, seramai 1.6 juta atau 60 peratus daripada 2.8 juta pengundi berdaftar telah membuang undi dalam pilihan raya kelmarin.
"Tidak kira siapa pun yang akan diumum sebagai pemenang nanti, pemenang pertama pilihan raya ini adalah rakyat Libya," kata pengerusi suruhanjaya pilihan raya, Nuri Al-Abbar pada satu sidang media kelmarin.
Sekitar 3,700 calon bertanding dengan Parti Keadilan dan Konstruksi yang dinaungi pegerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan parti liberal Al-Watan dilihat berpeluang memenangi pilihan raya tersebut.
Ikut gabung sini ya
ReplyDeletebagus banget infonya gan
ReplyDeletesalam kenal dan salam hangat selalu
ReplyDelete