Searching...
Wednesday, 6 June 2012
12:51 0

Sepanyol miliki ramuan lengkap pertahan gelaran Piala Eropah


SEPANYOL memiliki semua kriteria yang diperlukan di barisan serangan dan tengah bagi memecahkan keutuhan benteng pertahanan pihak lawan.

Jurulatih China yang juga bekas pengendali Sepanyol, Antonio Camacho menganggap elemen tersebut akan menjadi senjata utama skuad La Roja bagi menghadapi kempen Euro 2012 di Poland dan Ukraine bermula 8 Jun ini.

Terdahulu, Sepanyol mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga aksi pemanas badan bagi menghadapi Euro 2012 apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas China awal pagi semalam.

Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque dilihat memiliki ‘kemewahan’ di bahagian jentera tengah apabila hanya memasukan perancang, Andres Iniesta pada babak kedua perlawanan.

Kemasukan Iniesta membuahkan hasil apabila dia membuka ruang buat David Silva untuk meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-84.

“Semua orang pasti akan menerapkan corak permainan yang sama seperti mana kami (China) lakukan hari ini (kelmarin) yang mana lebih banyak bertahan dan hanya melakukan serangan balas.

“Jika kami berdepan pasukan lain, mungkin kami tidak akan tewas tetapi dengan Sepanyol, mereka memiliki banyak alternatif lain untuk mencatatkan kemenangan.

“Jika seorang pemain dikeluarkan, seorang lagi pemain yang lebih bagus akan masuk. Apabila itu yang berlaku, adalah sukar untuk kamu menjangka apa yang akan mereka lakukan,” kata Camacho.

Pada aksi awal pagi semalam, jentera serangan skuad La Roja yang diketuai penyerang Sevilla, Alvaro Negredo dilihat kurang menyengat.

Malah keputusan del Bosque yang menurunkan Negredo daripada menggunakan khidmat penyerang Chelsea, Fernando Torres dalam kesebelasan utama turut dipersoalkan.

Negredo memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal disempurnakan dengan baik sebelum dia digantikan dengan Torres pada babak kedua.

“Pada babak pertama, kami beraksi sangat perlahan daripada biasa. Kadang-kadang para pemain dilihat seperti malas.

“Para pemain gagal mengekalkan tahap kecergasan fizikal mereka dan dilihat keletihan selepas aksi pada awal perlawanan. Namun, selepas itu kami bertambah baik.

“Yang paling penting, kami telah mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol,” kata del Bosque.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...