MADRID: Masih segar daripada kejuaraan Liga Perdana bersama Manchester City, David Silva adalah seorang daripada ayam tambatan dalam pasukan Sepanyol dengan kepantasan dan ketangkasannya mampu mencetus masalah buat lawan pada Euro 2012.
Pemain berusia 26 tahun itu perlu bersaing dalam posisi tengah yang mempunyai terlalu ramai pemain bintang dan pemain seperti Fernando Llorente dan Fernando Torres di bahagian serangan jika mahu berada dalam kesebelasan utama.
Namun jurulatih Vicente del Bosque berpeluang menggunakan pemain itu, dengan keupayaannya bermain di kedua-dua bahagian sayap kiri dan sebagai penyerang.
Silva, yang menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 pada perlawanan persahabatan menentang China, Ahad lalu, turut hadir pada Kejohanan Eropah masih segar dengan kejayaan liga pertama Manchester City dalam tempoh 44 tahun, sekali gus membuatkannya teruja untuk memburu lebih banyak trofi.
Tunjang utama dalam pasukan Sepanyol yang menguasai Euro 2008, pemain muda dari Arguineguin, Gran Canaria itu hanya melakukan dua penampilan pada Piala Dunia dua tahun lalu, termasuk perlawanan pertama La Roja, yang menyaksikan juara dunia itu tumpas kepada Switzerland.
Namun di peringkat kelab, 'Merlin', seperti yang digelar rakan sepasukannya, mencatat kejayaan demi kejayaan sejak menyertai City dari Valencia pada 2010 dengan nilai perpindahan sekitar �25 juta (RM99.4 juta).
Pada musim pertamanya, dia membantu kelab itu menjulang Piala FA dan layak buat kali pertama ke Liga Juara-Juara.
Pilihan utama untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), dia bagaimanapun terjejas dengan masalah kecederaan buku lali musim ini namun Manchester City masih berjaya memenangi kejuaraan liga dan Silva dipilih sebagai pemain terbaik kelab itu oleh rakan sepasukannya.
Pemerhati memuji pengaruh kreativiti yang mampu dicetus bekas pemain Valencia itu.
“Saya cuba membantu dan memberikan sumbangan kepada pasukan dan saya sering suka mengawal bola, jadi adalah hebat jika saya boleh membantu menguasai permainan dan mencipta peluang,” kata pemain Sepanyol itu.
Laporan terbaru media mengaitkannya dengan perpindahan ke kelab bimbingan Jose Mourinho, Real Madrid. - Agensi
0 comments:
Post a Comment