KUALA LUMPUR, 5 APRIL 2012 : Pelawak Mamat Sepah atau Mohd Noor Murad,27, akui sedang menjalani perubatan kampung setelah menderita sakit aneh sejak beberapa bulan lalu.
Tidak pasti apa jenis penyakitnya, Mamat Sepah berkata dia kini hanya mampu berdoa supaya dirinya cepat sembuh dan kembali bekerja seperti biasa.
"Saya sudah mula rasa penyakit aneh ini sejak beberapa bulan lalu. Saya sentiasa akan rasa lemah ketika waktu magrib sehingga ke malam dan telah menyebabkan saya tidak boleh tidur.
"Namun setelah berjumpa dengan doktor, saya hanya diberikan vitamin dan disahkan tidak mempunyai penyakit yang serius.
"Terus-terang, seumur hidup, saya tidak pernah mengalami rasa sakit sebegini sehingga apabila apa jua makanan yang masuk ke mulut saya akan rasa pedih seperti menelan kaca. Saya harap sangat saya dapat kembali sihat seperti biasa," katanya ketika dihubungi oleh media
Meskipun penyakitnya itu telah disifatkan oleh beberapa orang sekelilingnya sebagai ciri-ciri buatan orang yang ada berniat jahat terhadapnya, namun Mamat Sepah tidak sesekali mempercayainya kerana dia akui tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.
Malah Mamat berkata, tiada apa yang boleh orang lain cemburu atau berdengkinya kerana sejak dua rakannya Shuib dan Jep keluar daripada Sepah dan membentuk Sepahtu, dia akui kerjayanya jatuh merudum.
"Ramai pihak termasuk orang yang mengubati saya di kampung berkata dia melihat saya seperti sudah terkena buatan orang dan orang itu adalah orang yang paling baik dan rapat dengan saya.
"Saya tidak mahu mempercayai sepenuhnya jangkaan mereka kerana saya sendiri tidak dapat bezakan orang disekeliling saya sedang bermusuh dengan saya atau tidak.
"Selama ini, saya bahagia apabila bersama rakan-rakan, cuma saya tidak tahulah jika ada musuh dalam selimut," luahnya lagi.
Bekas kekasih Rafidah Ibrahim itu berkata, disebabkan penyakit yang dialaminya itu dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon dan pementasan.
"Saya terpaksa menolaknya kerana saya takut saya tidak dapat berikan yang terbaik disebabkan gangguan penyakit yang saya alami.
"Saya pun baru sahaja habis dubbing untuk filem animasi Bola Kampung. Itu pun saya mengalami kesukaran untuk melakukannya kerana suara saya seakan-akan hilang dan susah untuk keluar dengan baik.
"Jadi kini lebih baik saya tumpukan pada perubatan saya dahulu dan selepas kembali pulih baru saya dapat meneruskan kerja-kerja lain," jelasnya yang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk menjalani perubatan tersebut.
Walaubagaimanapun Mamat yang baru selesai menjalani penggambaran filem Ular arahan Yusry Abdul Halim itu berkata dia kini lebih berhati-hati dalam semua aspek persekitarannya.
"Sejak apa yang berlaku, saya jadi takut untuk keluar dan berjumpa dengan orang awam.
"Saya hanya sentiasa ditemani oleh pembantu peribadi saya sahaja kerana saya takut diancam oleh pihak-pihak yang kurang senang lagi.
"Saya harap sangat kehidupan saya akan kembali normal seperti sebelum ini,"tambahnya,
0 comments:
Post a Comment