Raih tempat ke-10 pendakian Tour of Thailand
PELUMBA berpengalaman, Amir Mustafa Rusli (gambar) membuktikan Malaysia masih mempunyai pendaki berkaliber di pentas antarabangsa, apabila menduduki tempat ke-10 perlumbaan peringkat kedua Tour of Thailand (ToT 2012) sejauh 111.20 kilometer dari Chiang Rai-Doi Maesalong-Mae Chan, semalam.
Pelumba tersebut yang bakal meneruskan haluannya bersama pasukan kelab benua Australia, Drapac Professional Cycling Team pada musim depan menamatkan kayuhan dengan catatan masa 3 jam 9 minit 45 saat dalam kelompok ketiga bersama seorang lagi pelumba negara, Muhd Fauzan Ahmad Lufti, sekali gus mengekalkan pasukan kebangsaan Malaysia untuk terus menghuni kelompok lima teratas klasifikasi pasukan keseluruhan.
Amir Mustafa yang mengaku masih gagal menyesuaikan diri dengan basikal yang bukan miliknya bagaimanapun kesal kerana pasukan kebangsaan Malaysia sebenarnya berpeluang mengekalkan keputusan tempat ketiga berpasukan keseluruhan digapai pada perlumbaan peringkat pertama kelmarin.
“Saya masih terkial-kial untuk menyesuaikan diri dengan basikal yang bukan milik saya. Basikal ini saya pinjam daripada jurulatih (Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan). Ternyata saya sukar untuk mengawal basikal sewaktu mendaki bukit hari ini (semalam). Kalau pakai basikal sendiri, saya pasti boleh berada dalam kelompok lima teratas.
“Bagaimanapun, saya bangga kerana saya dan Fauzan mampu untuk berada dalam kelompok 15 teratas pada sesi pendakian. Sesi pendakian hari ini (semalam) sangat sukar kerana Chiang Rai berada pada altitud tinggi daripada paras laut. Namun kita selesa mendaki bukit setinggi hampir 1,200 meter,” katanya.
0 comments:
Post a Comment