Searching...
Showing posts with label EURO 2012. Show all posts
Showing posts with label EURO 2012. Show all posts
Monday, 2 July 2012
01:28 0

LIVE STREAMING SPAIN vs ITALY FINAL EURO 2012


LIVE STREAMING SPAIN vs ITALY EURO 2012 1 JULAI 2012 | perlawanan peringkat AKHIR PIALA EROPAH 2012 akan berlangsung diantara SPAIN vs ITALY pada 1 jULAI 2012.
Saksikan siaran langsung secara Live Streaming SPAIN vs ITALY pada link yang disediakan dibawah. Video live streaming perlawanan akan diupdate sebelum perlawanan berlangsung nanti jika ada.

LINK Klik DISINI

LINK Klik DISINI
Sunday, 1 July 2012
13:58 0

(EURO) Iniesta sumber inspirasi kami - Fabregas


KIEV, Ukraine - Cesc Fabregas enggan mendedahkan formasi yang bakal digunakan Sepanyol pada aksi final Euro 2012 menentang Itali di Stadium Olimpik awal pagi esok.

Bagaimanapun, pemain tengah skuad La Roja itu berkata, Andres Iniesta mampu menyuntik keyakinan rakan-rakan sepasukan untuk memenangi gelaran juara, sekali gus melakar sejarah baharu.

Pada kempen Euro 2008, Fabregas sekadar menjadi pembantu kepada penyerang utama, David Villa.

Dia diletakkan di belakang Fernando Torres dalam misi untuk membantu penyerang Chelsea itu menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Jerman 1-0 pada final.

Ketiadaan David Villa pada kempen di Poland dan Ukraine kali ini telah membuka peluang kepada Fabregas dan Torres untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Vicente del Bosque.

Perebutan tempat semakin sengit selepas Alvaro Negredo telah disenaraikan di posisi penyerang tengah ketika aksi menentang Portugal di separuh akhir.

Bagaimanapun, kehebatan Fabregas ketika menyempurnakan sepakan terakhir penalti bagi menyingkirkan Itali pada saingan suku akhir empat tahun lalu memberikan kelebihan kepadanya untuk menjadi pilihan utama berbanding Torres, Negredo dan Fernando Llorente.

Bekas pemain Arsenal itu yakin del Bosque mempunyai strategi yang tersendiri untuk memilih pemain yang sesuai pada aksi menentang Itali nanti.

"Iniesta sentiasa menunjukkan kemajuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.

"Iniesta menghadapi musim yang sukar bersama kelab kerana sering dihimpit masalah kecederaan.

"Namun, dia telah mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam kariernya pada Euro kali ini, sekali gus memberi kesan yang besar kepada cara permainan kami.

"Dia sangat kreatif ketika membawa bola dan pasti akan melakukan hantaran-hantaran yang menarik pada final nanti.

"Jadi dia merupakan sumber inspirasi kami. Ketika sedang menghadapi perlawanan, Iniesta menjadi rujukan kami," kata Fabregas.

Untuk rekod, Fabregas menjadi pemain yang membantu Iniesta menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menewaskan Belanda pada final Piala Dunia 2010. - Agensi
13:50 0

(EURO) Ramos mahu lakar sejarah baharu


KIEV, Ukraine - Pemain pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos mengakui pasukan itu mempunyai misi besar pada final Euro 2012 menentang Itali di Stadium Olimpik awal pagi esok.

Ramos berkata, skuad La Roja mahu meneruskan usaha mereka bagi menguasai bola sepak dunia sejak memenangi gelaran juara Euro 2008 di Vienna, Austria.

Sepanyol menambah satu lagi trofi apabila menjuarai Piala Dunia 2010 dan kemenangan ke atas Itali nanti bakal menjadi skuad La Roja sebagai pasukan pertama yang memenangi tiga gelaran utama berturut-turut.

Skuad bimbingan Vicente del Bosque juga akan menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan gelaran juara Eropah, sekali gus menyamai rekod Jerman yang memenangi tiga gelaran pada kejohanan di benua itu selepas kali pertama merangkulnya pada 1964.

"Kami mahu terus meletakkan kualiti hasil kerja keras kami di tahap yang lebih tinggi.

"Malah, jika boleh saya mahu meletakkannya di tahap yang sukar untuk dipercayai kerana belum ada pasukan yang memenangi tiga gelaran berturut-turut.

"Kami berpeluang untuk melakukannya. Ia memerlukan kerja keras, perasaan rendah diri dan kepuasan untuk beberapa tahun.

"Sepanyol sudah bersedia untuk melakar sejarah tetapi ia masih belum berakhir dan kami mahu memenangi trofi itu (Euro 2012)," kata pemain pertahanan Real Madrid itu.

Ramos berkata, meskipun ada sesetengah pihak yang tidak akan menghargai segala pengorbanan mereka selama ini sekiranya pasukan itu tewas kepada Itali, dia tetap pulang dengan perasaan bangga.

Dalam pada itu, Ramos mengakui Andrea Pirlo merupakan nadi utama skuad The Azzurri, sama seperti Xavi Hernandes dan dia perlu dirantai bagi mengekang pergerakannya. - Agensi
13:47 0

(EURO) Itali tidak gentar


WARSAW, Poland - Cesare Prandelli sangat kagum dengan corak permainan yang ditampilkan Sepanyol.

Bagaimanapun, jurulatih Itali itu berkata, beliau tidak rela anak-anak buahnya 'mengikut telunjuk' Sepanyol pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi esok.

"Kami tidak perlu takut kepada mereka. Kami berada di sini atas faktor merit dan kami akan melakukan yang terbaik bagi menewaskan mereka," kata pengendali berusia 54 tahun itu.

Prandelli berkata, beliau yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya selepas berjaya mengejutkan Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir kelmarin.

"Kami berasa sangat bangga kerana berjaya sampai ke peringkat ini.

"Kejayaan ini menyebabkan kami berasa bangga untuk mewakili negara tetapi apabila kami berada di luar negara, saya yakin kami akan lebih berbangga untuk mengibarkan bendera.

"Kelmarin, kami berjaya mengikut segala perancangan dan para pemain memberi reaksi yang sangat baik. Mereka sangat menakjubkan, kami dianggap sebagai sebuah pasukan kerdil pada sesi latihan tetapi berjaya mencuri tumpuan pada aksi sebenar," katanya.

Meskipun mengakui para pemain Itali berada dalam situasi keletihan selepas bekerja keras untuk menempah slot ke final, Prandelli yakin mengenai prospek pasukan itu.

"Saya mahu melakukan persiapan dengan baik meskipun kami hanya ada masa sehari. Sama seperti yang kami lakukan ketika bertemu Jerman, kami perlu mencari kelemahan mereka dan mengambil peluang itu.

"Ia bukan satu tugas mudah kerana Sepanyol telah bermain bersama sejak beberapa tahun lalu. Mereka memenang trofi Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 dan mereka mara ke final sekali lagi.

"Ini bermakna, mereka tidak hanya hebat dari segi taktikal tetapi mereka juga mempunyai moral yang tinggi dan sumbangan peribadi yang boleh kami jadikan sebagai rujukan.

"Namun, kami juga berjaya berada di sini (final). Kami semakin matang menjelang perlawanan terakhir dalam kejohanan ini," katanya.

Untuk rekod, Itali dan Sepanyol bertemu pada perlawanan pembukaan Kumpulan C yang berkesudahan seri 1-1 pada 10 Jun lalu. - Agensi
13:43 0

(EURO) - Kelibat dua 'Jeneral'



KIEV, Ukraine - Dua penjaga gol veteran, Iker Casillas dan Gianluigi Buffon bakal mencuri tumpuan pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi esok.

Selain mengawal pintu gol daripada dibolosi, Casillas dan Buffon turut mempunyai tugas penting selepas masing-masing dilantik menjadi kapten.

Casillas, 31, akan mengetuai skuad La Roja manakala Buffon, 34, memimpin skuad The Azzurri.

Meskipun sudah berada di penghujung karier, kedua-dua pemain ini masih lagi memegang status penjaga gol terbaik di dunia dan menjadi sumber inspirasi barisan generasi muda.

"Gigi (Buffon) adalah seorang pemain yang hebat.

"Dia adalah seorang idola buat kami semua. Dia memulakan karier bola sepak lebih awal. Dia tua tiga tahun daripada saya tetapi dia mencapai kejayaan dengan pantas. Dalam tempoh beberapa tahun, dia sudah menjadi penjaga gol terbaik di dunia.

"Sangat menakjubkan. Meskipun kedudukan penjaga gol terbaik lain sering berubah, dia tetap menjadi yang terbaik. Dia telah meraikan kejayaan yang besar, dia memenangi Piala Dunia 2006, liga Itali beberapa kali, Piala Itali dan Piala Super Itali bersama Juventus.

"Bagi peminat bola sepak di seluruh dunia, dia telah menjadi legenda dan sesuatu yang hebat apabila dia masih lagi bermain.

"Bagi saya, sesuatu yang baik untuk bermain dan menambah kemahiran bersama-sama seorang penjaga gol yang hebat," kata Casillas.

Bagaimanapun, Casillas turut dianggap sebagai penjaga gol yang hebat dan berpengalaman terutamanya selepas membantu Sepanyol memenangi trofi Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.

Kemenangan ke atas Itali awal pagi esok bakal menjadikannya sebagai pemain pertama yang mencapai kejayaan 100 peratus bersama pasukan kebangsaan negara itu.

Selain muncul pemain yang paling banyak membuat penampilan dan merangkul anugerah penjaga gol terbaik di dunia sebanyak empat kali dari 2008 hingga 2011, Casillas turut melakar kejayaan bersama Real Madrid termasuk memenangi liga trofi Liga Sepanyol dan dua gelaran Liga Juara-Juara.

Casillas memainkan peranan utama ketika Sepanyol menewaskan Itali pada aksi suku akhir Euro 2008.

Dia menyelamatkan sepakan penalti Antonio Di Natale dan Daniele De Rossi sebelum Cesc Fabregas meledakkan gol kemenangan, sekali gus menamatkan kemarau trofi utama selama 44 tahun. - Agensi
Saturday, 23 June 2012
07:40 0

England tekad akhiri kemarau



KRAKOW, Poland - England ada misi yang perlu diselesaikan pada aksi suku akhir menentang Itali di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi Isnin ini.

Skuad bimbingan Roy Hodgson itu perlu melayakkan diri ke separuh akhir dalam satu kejohanan utama buat pertama kalinya sepanjang tempoh 16 tahun.

Bagaimanapun, keyakinan barisan pemain England sedikit terganggu apabila memikirkan kegagalan mara ke kelompok empat pasukan terakhir sepanjang lapan kejohanan utama terakhir.

Untuk rekod, skuad The Three Lions terkandas pada suku akhir sebanyak tiga kali dalam tempoh 10 tahun.

Namun, selepas muncul juara Kumpulan D untuk meletakkan Perancis di tangga kedua dan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang lima perlawanan di bawah bimbingan Hodgson, England akan menghadapi aksi suku akhir di Kiev itu dengan penuh yakin.

"Sekiranya kami dapat menghadapi perlawanan itu (menentang Itali) dengan corak permainan yang kami terapkan ketika ini, kami pasti mencatat kemenangan. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku.

"Ia akan menjadi satu perlawanan yang berlainan. Apa yang penting, kami sudah berada di sana (suku akhir). Kami akan bermain dan masih dalam pertandingan ini.

"Kami mahu terus berada dalam pertandingan ini kerana kami berasa cukup teruja," kata Hodgson.

Bagaimanapun, Hodgson bimbang dengan situasi beberapa pemain utama yang akan dilayangkan kad kuning, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya.

Ketika ini, kapten, Steven Gerrard, Ashley Cole, Ashley Young, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain masing-masing sudah mengutip satu kad kuning, sekali gus berpotensi untuk terlepas aksi separuh akhir sekiranya England berjaya melayakkan diri.

Namun, Hodgson berharap para pemainnya tidak menghiraukan ancaman digantung permainan gara-gara kad kuning kerana ia mampu mengganggu persembahan pasukan itu.

Kebimbangan paling besar Hodgson ialah kegagalan Gerrard untuk beraksi pada perlawanan seterusnya kerana bintang Liverpool itu berjaya memberi inspirasi untuk mengemudi jentera tengah skuad The Three Lions. - AFP
07:27 0

Perancis fokus hadapi Sepanyol


DONETSK, Ukraine - Perancis berazam untuk melupakan insiden panas dalam bilik persalinan bagi memberi fokus pertemuan menentang Sepanyol pada aksi suku akhir di stadium Donbass Arena awal pagi ini.

Skuad Les Bleus mula menjadi perhatian selepas tiga pemainnya dilaporkan bertengkar dengan jurulatih, Laurent Blanc berikutan kekalahan 0-2 kepada Sweden, Rabu lepas.

Bagaimanapun, pembantu jurulatih, Alain Boghossian yang turut menyaksikan insiden hampir sama berlaku pada Piala Dunia 2010 mendedahkan bahawa pertengkaran tersebut hanya melibatkan 'perang mulut' sahaja.

Boghossian juga menjelaskan, situasi itu jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Afrika Selatan.

Ketika itu, semua pemain Perancis telah memboikot kempen berkenaan sebagai sokongan kepada Nicolas Anelka yang dihantar pulang oleh jurulatih ketika itu, Raymond Domenech.

"Memang ada pertengkaran tetapi ia lebih kepada 'perang mulut' sahaja. Perkara ini biasa terjadi dalam bilik persalinan.

"Kalau 'perang mulut' ini tidak berlaku, ia mungkin akan menjadi lebih buruk. Sama seperti pasangan kekasih, kalau kamu pendam masalah dalaman, suatu masa ia akan meletup jua," kata Boghossian.

Boghossian juga tidak menafikan yang pertengkaran tercetus antara Hatem Ben Arfa dan Blanc, namun dia menegaskan, semuanya telah berakhir.

Katanya, Perancis berusaha untuk melupakan kekalahan yang menyaksikan rekod 23 perlawanan pasukan itu lebur.

"Kekalahan itu adalah satu tamparan yang hebat. Ada banyak kekecewaan yang perlu dihapuskan. Semua orang telah meluahkan perasaan masing-masing dan ia berjaya mengeratkan lagi persefahaman antara pemain.

"Semuanya telah selesai," tambahnya. - Agensi
Tuesday, 19 June 2012
12:25 0

Euro 2012: Nasri tekad bantu The Blues



"PERANCIS perlu mengatasi lawan dan usah terlalu memikirkan slot ke suku akhir. Itu reaksi perancang utama pasukan Perancis, Samir Nasri menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C menentang Sweden, awal pagi esok.

"Kami perlu menang perlawanan ketiga ini untuk layak ke peringkat suku akhir. Sama ada kita bakal bertemu Sepanyol atau tidak itu bukanlah persoalannya kerana untuk menjadi pasukan hebat Perancis perlu menentang pasukan yang hebat termasuklah Sepanyol atau pasukan lain," katanya.

Pada masa sama, pemain Manchester City ini juga memuji semangat juang rakanrakannya dalam perlawanan menentang Ukraine baru-baru ini dan mahu momentum sama diteruskan menentang anak buah Erik Hamren, awal pagi esok.

"Selepas seri dalam perlawanan pertama, semangat pemain untuk mengutip tiga mata penuh semakin ketara dan akhirnya kita berjaya melaksanakannya," katanya.
12:23 0

Euro 2012: Status Walcott membimbangkan


KECEDERAAN pangkal paha Theo Walcott memungkinkan pemain itu tidak diturunkan menjelang aksi penentuan ke suku akhir England menentang tuan rumah Ukraine, awal pagi esok.

Pengurus Roy Hodgson mengakui bimbang mengenai status kecederaan dialami pemain itu yang tidak kelihatan ketika sesi latihan, Ahad lalu. “Kerana kecederaan itu dia terpaksa direhatkan dalam tempoh yang lama dan ini membimbangkan kami walaupun tiada apa yang berlaku sepanjang sesi latihan.

Bagaimanapun kami harus mengambil langkah berjaga-jaga jika mahu Walcott diturunkan. “Sama ada Walcott tersenarai atau tidak, bergantung kepada laporan perubatan dan jaminan yang mereka boleh beri. Saya tidak mahu baru lima minit permainan bermula, Walcott terpaksa dipanggil semula ke bangku simpanan,” katanya.

Kebimbangan itu terus meresahkan jurulatih Three Lions meskipun penggempur utama Wayne Rooney kembali selepas digantung dua perlawanan gara-gara sikap panas barannya kerana menendang pemain Montenegro, Miodrag Dzudovic pada aksi terakhir Kelayakan Euro 2012, Oktober tahun lalu. Akibat pergantungan tersebut Rooney terlepas dua aksi kumpulan menentang Sweden dan Perancis.

Perkembangan terkini itu, bagaimanapun membawa khabar gembira apabila Hodgson memutuskan melantik Rooney sebagai pembantu kapten sepanjang kempen Euro 2012.

“Buat masa ini Rooney calon paling layak menggalas tanggungjawab itu,” katanya.
12:20 0

Itali 2-0, juga mara ke suku akhir


ITALI mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatatkan kemenangan berharga 2-0 ke atas Republik Ireland pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Stadium Municipal, Poznan, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Kemenangan itu ternyata amat bermakna buat Itali apabila mengesahkan slot suku akhir selepas dipalit kekecewaan ekoran gagal untuk mengutip mata penuh sebelum ini.

Pada babak awal perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan permainan yang berhati-hati dan seimbang

Bagaimanapun, juara dunia 2006, Itali mula menemui rentak di tengah babak perlawanan apabila mula bermain agresif dengan menampilkan serangan balas berbahaya ke gawang Republik Ireland, namun berjaya dikawal ketat oleh benteng pertahanan pasukan itu.

Asakan demi asakan akhirnya menewaskan pertahanan Republik Ireland. Tandukan menerusi Antonio Cassano pada minit ke-35 berjaya membolosi gawang lawan untuk mendahului 1-0.

Memasuki babak kedua perlawanan, Republik Ireland mula mengatur serangan demi memburu kemenangan pertama, namun tidak mendatangkan hasil apabila semua percubaan yang dilakukan tersasar.

Sebaliknya, Itali yang bersemangat untuk memburu slot ke suku akhir, terus mempamerkan aksi hebat apabila penyerang sensasi mereka, Mario Balotelli berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-89 untuk membantu skuad The Azzuri mengutip tiga mata penuh.

Kemenangan ini membolehkan anak didik Cesare Prandelli menamatkan saingan peringkat Kumpulan C selaku naib juara dengan mengumpul empat mata.

Sementara itu, Republik Ireland yang sudah tersingkir dalam saingan Euro 2012 selepas mencatat dua kekalahan dalam Kumpulan C, terus menemui jalan buntu apabila setiap asakan yang dilakukan oleh mereka terus gagal untuk menjaringkan gol penyamaan.

Sebaliknya, kegagalan ini terus menghantui pasukan Republik Ireland apabila pernah tewas kepada Crotia 1-3, dan dibelasah Sepanyol 0-4 sebelum ini.

Berdasarkan rekod pertemuan mereka sebelum ini, Republik Ireland menewaskan Itali 2-0 pada tahun lepas.

Dalam dua perlawanan sebelum ini, Itali mengutip dua mata dengan berada di kedudukan ketiga manakala Republik Ireland di tangga tercorot setelah tiada sebarang mata berjaya diperoleh.

Pada pertemuan suku akhir yang akan berlangsung 24 Jun ini, Itali dijadualkan bertemu dengan naib juara Kumpulan D.


Sekilas fakta perlawanan (Separuh masa pertama):

- Keputusan semasa: (2) Itali (0) Rep Ireland

- Penguasaan bola: (53%) Itali (47%) Rep Ireland

- Percubaan ke arah gawang: (24) Itali (9) Rep Ireland

- Sepakan penjuru: (12) Itali (5) Rep Ireland

- Kad kuning: 1 (Balzaretti, Buffon dan De Rossi; Itali); 2 (St Ledger; O'Shea dan Andrews; Rep, Ireland)


Barisan pemain Itali:

1 Gianluigi Buffon
19 Leonardo Bonucci
16 Daniele De Rossi
3 Giorgio Chiellini
2 Christian Maggio
21 Andrea Pirlo
8 Claudio Marchisio
13 Emanuele Giaccherini
22 Alessandro Diamanti
11 Antonio Di Natale

Barisan pemain Republik Ireland:

1 Shay Given
4 John O'Shea
2 Sean St Ledger
5 Riachard Dunne
3 Stephen Ward
7 Aiden McGeady
6 Glenn Whelan
8 Keith Andrews
11 Damien Duff
10 Robbie Keane
9 Kevin Doyle
12:15 0

Gol minit ke-88, Sepanyol ke suku akhir


SEPANYOL muncul juara Kumpulan C apabila mengatasi Croatia 1-0 dalam perlawanan terakhir saingan kumpulan, Euro 2012 di Stadium Arena, Gdansk.

Gol dihasilkan oleh Jesus Navas pada minit ke-88 permainan. Pertahanan Croatia menyangkakan dia telah berada dalam kedudukan ofsaid tetapi malangnya, gol itu telah diiktiraf pengadil.

Penguasaan bola kedua-dua pasukan amat seimbang ketika awal minit permainan, malah sangat berhati-hati. Sepanyol dan Croatia saling berbalas serangan namun tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan.

Fernando Torres, Andres Iniesta dan David Silva masing-masing melakukan satu percubaan tepat ke gawang Croatia, tetapi berjaya dipatahkan penjaga gawang, Stipe Pletikosa dengan begitu cemerlang.

Sejurus selepas itu, dua pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos dan Gerard Pique mencuba nasib apabila merembat kencang bola dari luar kotak penalti dan melepasi palang gol Croatia.

Croatia jarang sekali menguji gawang Sepanyol yang dikawal oleh Kapten Iker Casillas serta dibantu dengan kekebalan benteng Sepanyol.

Begitu pun, secara keseluruhannya, skuad La Roja lebih banyak menguasai tempo permainan dengan melakukan hantaran bola yang tepat sepanjang babak pertama perlawanan.

Bersambung di babak kedua, Croatia mula mengatur serangan untuk mencari gol sulung. Mereka berjaya memperoleh peluang terbaik apabila Ivan Rakitic menanduk bola hasil lambungan dari Modric tetapi dapat ditepis oleh Casillas pada minit ke-59. Ia sekaligus mengecewakan penyokong-penyokong Croatia.

Keresahan jelas terpancar di wajah Slaven Bilic dan para penyokong mereka apabila Itali mendahului Ireland 2-0 di Poznan. Croatia melancarkan serangan bertubi-tubi, namun usaha mereka mencapai kegagalan sekali gus memaksa mereka mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan ini

Juara bertahan 2008 itu meneruskan rentak cemerlang selepas membelasah Republik Ireland 4-0 pada perlawanan kedua kumpulan.

Pada perlawanan pembukaan mereka seri 1-1 dengan Itali. Mereka juga mencatatkan rekod tanpa kalah bersama Jerman dalam kejohanan edisi kali ini.

Pada perlawanan pembukaan, Croatia menewaskan Ireland 3-1 dan seri dengan Itali 1-1 pada perlawanan kedua serta berkongsi empat mata dengan Sepanyol.

Di atas kertas, kedudukan Sepanyol dilihat selesa dan perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri.

Kali terakhir mereka bertemu ialah sebelum Piala Dunia 2006, Sepanyol menumpaskan Croatia 2-1 dalam perlawanan persahabatan. Ketika itu, Sepanyol dibimbing oleh bekas jurulatih, Luis Aragones.

Sekilas fakta perlawanan:

- Keputusan semasa: (0) Croatia (1) Sepanyol

- Penguasaan bola: (35%) Croatia (65%) Sepanyol

- Percubaan ke arah gawang: (5)Croatia (13) Sepanyol

- Sepakan sudut: (4) Croatia (11) Sepanyol

- Kad kuning: Vedran Corluka, Darijo Srna, Mario Mandzukic, Ivan Rakitic, Nikica Jelavic (Croatia)


Barisan pemain Croatia:

1. Stipe Pletikosa
2. Ivan Strinic
5. Vedran Corluka
13. Gordon Schildenfeld
21. Domagoj Vida
6. Danijel Pranjic
7. Ivan Rakitic
8. Ognjen Vukojevic
10. Luka Modric
11. Darijo Srna (k)
17. Mario Mandzukic

Barisan pemain Sepanyol:

1. Iker Casillas (k)
3. Gerard Pique
15. Sergio Ramos
17. Alvaro Arbeloa
18. Jordi Alba
6. Andres Iniesta
8. Xavi Hernandez
14. Xabi Alonso
16. Sergio Busquets
21. David Silva
9. Fernando Torres
09:11 0

Perancis idam juara kumpulan


DONETSK, Ukraine - Perancis meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan selaku juara Kumpulan D pada Euro 2012.

Sasaran tersebut bakal menjadi kenyataan sekiranya skuad kendalian Laurent Blanc itu berjaya menewaskan Sweden pada aksi terakhir kumpulan itu di Stadium Olympik awal pagi esok.

Atas kertas, skuad Les Bleus memiliki kelebihan untuk menewaskan Sweden yang telah tersingkir daripada kempen kali ini.

Ini kerana, Sweden tewas kedua-dua perlawanan awal pada peringkat kumpulan masing-masing 1-2 kepada Ukraine dan England 2-3.

Justeru, Perancis mahu memanfaatkan segala kelebihan yang dimiliki bagi mengutip tiga mata penuh, sekali gus menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas.

Selain mahu bergelar juara kumpulan, kempen Euro kali ini menjadi medan terbaik buat anak-anak buah Blanc untuk menamatkan 'badi' yang dialami mereka apabila gagal mara ke suku akhir pada kejohanan utama sejak Piala Dunia 2006.

Kedudukan selaku juara Kumpulan D juga sangat penting buat Perancis kerana mereka mahu mengelak daripada berdepan Sepanyol yang dijangka mudah menamatkan saingan Kumpulan C di tangga teratas.

"Adalah sesuatu yang hebat jika kami dapat mengelak daripada berdepan Sepanyol pada suku akhir.

"Kami (Perancis) perlu mempamerkan aksi terbaik apabila menentang Sweden dan mencatat kemenangan.

"Kami mahu terus kekal di atas dan menamatkan saingan di sebagai juara," kata perancang Perancis, Yohan Cabaye yang meledak satu gol ketika membantu skuad Les Bleus menewaskan Ukraine 2-0, Sabtu lalu.

Ketika ini, Perancis berkongsi empat mata di tangga teratas bersama England, diikuti Ukraine (tiga mata), manakala Sweden di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Sementara itu, tonggak pertahanan Perancis, Gael Clichy berkata, kemenangan ke atas Sweden bakal menjadikan skuad Les Bleus sebagai sebuah pasukan yang digeruni pada kempen Euro 2012. - Agensi
09:10 0

Strategi van Marwijk punca Belanda tewas


KHARKIV, Ukraine - Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan skuad The Oranje mara ke peringkat suku akhir Euro 2012.

Impian Belanda untuk meneruskan saingan ke kelompok lapan pasukan terakhir lebur selepas tewas 1-2 kepada Portugal pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Metalist awal pagi semalam.

Kekalahan itu turut menyebabkan Belanda menamatkan saingan tanpa mengutip sebarang mata selepas tewas kepada Denmark 0-1 dan Jerman 1-2 dalam dua perlawanan sebelum ini.

Pada aksi menentang Portugal awal pagi semalam, van Marwijk telah melakukan perubahan dalam kesebelasan utama apabila menggandingkan Rafael van der Vaart dengan Klaas-Jan Huntelaar bagi menerajui jentera serangan pasukan itu,

Meskipun sedar ia bakal mendatangkan risiko buat Belanda, namun van Marwijk menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai pilihan lain selain membuat keputusan tersebut.

"Saya pernah memberitahu sebelum ini, ia merupakan situasi yang istimewa sekiranya mencatat keputusan seri pada perlawanan terakhir atau pertama.

"Mungkin ia akan berlarutan ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti (pada pusingan kalah mati). Namun, kami (Belanda) sedar bahawa kami perlu menang ke atas Portugal sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol.

"Sebab itu, kami perlu mengambil risiko tersebut. Ada masa ia mendatangkan hasil yang positif, begitu juga sebaliknya. Dalam situasi ini, ia gagal menghasilkan keputusan yang kami mahukan.

"Kami kecewa dengan kekalahan ini. Para pemain telah beraksi dengan baik dan saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini," kata van Marwijk.

Pada aksi awal pagi semalam, Belanda terlebih dahulu di depan hasil jaringan van der Vaart seawal minit ke-11.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Portugal kembali menyamakan kedudukan menerusi kaptennya Cristiano Ronaldo pada minit ke-28.

Ronaldo membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya apabila meledak gol kemenangan Portugal pada minit ke-74. - AFP
09:08 0

Jerman tetap hormati Greece


LVIV, Ukraine - Jurulatih Jerman, Joachim Loew menegaskan bahawa pasukan itu bakal berdepan satu lagi perlawanan yang sukar pada aksi suku akhir Euro 2012.

Jerman menempah slot ke peringkat kalah mati itu selepas menewaskan Denmark 2-1 untuk dinobatkan selaku juara Kumpulan B setelah mengekalkan rekod tanpa kalah.

Meskipun berjaya melepasi saingan dalam 'kumpulan maut' yang turut menampilkan Portugal dan Belanda, anak- anak buah Loew dijangka berhadapan tugas berat pada pertemuan menentang naib juara Kumpulan A, Greece di stadium PGE Arena, Gdansk awal pagi Sabtu ini.

"Ia adalah perlawanan yang berlainan pada pertemuan menentang Greece.

"Namun, corak permainan mereka (Greece) seakan-akan sama dengan Denmark iaitu sangat berbahaya di jentera serangan dan kental di bahagian pertahanan. Ia akan menjadi satu pertembungan yang sukar.

"Kami perlu memperkemaskan barisan hadapan untuk menghadapi Greece tetapi kami telah memenangi tiga perlawanan yang sukar sebelum ini," kata Loew.

Pada aksi di stadium Arena Lviv awal pagi semalam, penyerang Jerman, Lukas Podolski meledak gol pertama pada minit ke-19 sebelum Denmark menyamakan kedudukan menerusi Michael Krohn-Dehli lima minit kemudian.

Bagaimanapun, pemain pertahanan Jerman, Lars Bender muncul wira apabila menghadiahkan gol kemenangan skuad The Team selepas 40 minit babak kedua bermula, sekali gus mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada peringkat kumpulan.

Bender telah menyarung jersi Jerman sebanyak sembilan kali sejak membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa pada aksi persahabatan menentang Poland, September lalu.

Sementara itu, Podolski yang membuat penampilan ke-100 bersama Jerman berkata, membantu misi pasukan untuk mara ke suku akhir perlu menjadi keutamaannya.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar apabila menentang pencabar yang hebat. Jaringan tersebut sangat istimewa bagi saya.

"Kami sangat gembira setelah mencatat tiga kemenangan berturut-turut dan kini, pasukan sedang melakukan persiapan untuk menghadapi Greece," kata Podolski. - AFP
09:06 0

'Ronaldo bukan faktor kejayaan Portugal'


KHARKIV, Ukraine - Jurulatih Portugal, Paulo Bento menganggap kejayaan pasukan itu menempah slot ke suku akhir pada kempen Euro 2012 adalah hasil kerjasama sepasukan.

Bento menyuarakan pendapat itu bagi menangkis spekulasi yang mendakwa kejayaan tersebut adalah hasil kehebatan pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Pada aksi di Stadium Metalist awal pagi semalam, Ronaldo meledakkan dua gol bagi membantu skuadThe Navigators muncul naib juara Kumpulan B selepas menewaskan Belanda 2-1.

Meskipun kembali menemui sentuhan selepas mempamerkan aksi hambar dalam dua perlawanan terdahulu, Bento tidak mahu terlalu memuji Ronaldo.

"Sebenarnya, gerakan secara individu tidak begitu penting.

"Saya bangga dengan apa yang telah kami lakukan sebagai satu pasukan dan saya cukup berpuas hati apabila kami berjaya mencapai sasaran mara ke suku akhir," kata Bento.

Kejayaan menewaskan Belanda itu membolehkan Portugal mengiringi Jerman yang muncul juara Kumpulan B selepas menewaskan Denmark 2-1 dalam satu lagi aksi awal pagi semalam.

Pada masa sama, Bento juga tidak mahu anak-anak buahnya memandang mudah cabaran juara Kumpulan A, Republik Czech pada aksi suku akhir di Stadium Nasional, Warsaw, Poland awal pagi Jumaat ini.

"Sejujurnya, kami lebih selesa untuk dianggap sebagai pasukan bukan pilihan menentang Czech.

"Bagi saya, Czech memiliki keupayaan untuk mengubah rentak permainan kami.

"Jadi, kami perlu mengekalkan kualiti permainan yang dimiliki sekiranya berhasrat untuk mara ke separuh akhir," katanya.

- Agensi
Saturday, 16 June 2012
14:21 0

EURO 2012 : Bila Maya Karin Jadi 'Miss Germany'

RAMAI artis lain sibuk bergaduh, naik turun mahkamah, cerai berai dan banyak lagi masalah. Lain pula ceritanya dengan Maya Karin.

Pada Khamis lalu, Maya Karin telah memuat naik dua keping gambar dia sedang menonton EURO 2012. Namun, ia bukan di rumah mahupun di kedai mamak berskrin besar bersama rakan-rakan. Sebaliknya, dia kelihatan ayu memakai jersi Jerman bersama ribuan penonton di Stadium Metalist, Kharkiv, Ukraine.

“Best dapat sokong satu daripada dua negaraku semalam!,” jelas Maya menerusi laman sosial twitternya.

Ini kerana Maya dilahirkan di Jerman dan bapanya, Gottfried Roelcke juga berbangsa Jerman. Mungkin ini yang membuat dia merasakan Jerman dekat di hati. Nampaknya Maya sanggup berbelanja ke Ukraine untuk menonton perlawanan pasukan kegemarannya itu.

Tapi, Maya pergi bersama siapa?
Ramai peminat yang cemburu melihat gambar Maya menyaksikan perlawanan secara langsung bersama ribuan penonton di dalam stadium tersebut.
06:49 0

Poland kekal strategi


WROCLAW - Poland dijangka akan menerapkan corak permainan bertahan dan serangan balas yang pantas pada aksi terakhir Kumpulan A menentang Republik Czech pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 di Stadium Municipal Wroclaw awal pagi esok.

Jurulatih Poland, Franciszek Smuda berkata, corak permainan itu menjadi kunci utama kejayaan pasukan tersebut pada tahun 1970 dan 1980.

Strategi itu turut digunakan oleh anak-anak buah Smuda ketika seri 1-1 dengan Rusia pada aksi sulung, 8 Jun lalu.

Smuda pasti akan mengekalkan strategi itu meskipun mereka tahu pasukan pelawat tidak mungkin akan terperangkap dengan umpan Poland setelah Czech bangkit menewaskan Greece 2-1 selepas dibelasah 1-4 oleh Rusia.

"Kami tidak perlu mengutamakan serangan. Pasukan Itali hanya bermain secara bertahan dan mereka juga mampu menang. Kenapa kami tidak boleh?" kata Smuda.

Rusia menduduki tempat teratas dalam Kumpulan A selepas mengumpul empat mata setelah seri dengan Poland manakala Republik Czech berada ditangga kedua (3 mata) diikuti Poland (2 mata) dan Greece (1 mata).

Aksi cemerlang yang dipamerkan pasukan itu ketika seri dengan Rusia telah menaikkan kembali keyakinan untuk mencatat keputusan yang lebih baik, sekali gus muncul juara.

"Kami tahu, Czech akan mara sekiranya seri dalam perlawanan ini tetapi kami perlu menang. Prestasi pasukan semakin baik, malah mempamerkan aksi yang baik pada setiap perlawanan.

"Jadi kami harap perlawanan ketiga akan lebih memihak kepada Poland," kata penyerang, Robert Lewandowski.

Meskipun dihantui dengan masalah kecederaan pemain, Poland masih bernasib baik berbanding Czech yang bakal kehilangan khidmat ketua pasukan, Tomas Rosicky. - Reuters
06:47 0

Misi berbeza Greece, Rusia


WARSAW, Poland - Greece dan Rusia mempunyai misi berbeza pada aksi terakhir Kumpulan A kempen kejohanan bola sepak Eropah (Euro 2012) di Stadium Municipal Wroclaw awal pagi esok.

Berbeza dengan Rusia yang hanya memerlukan satu mata untuk mara ke peringkat kalah mati, Greece tidak ada pilihan lain selain mencatat kemenangan.

"Ia bakal menjadi satu perlawanan yang sengit antara kedua-dua pasukan.

"Mereka perlu menang manakala kami hanya perlu seri," kata jurulatih Rusia, Dick Advocaat.

Berdasarkan rekod, tuah tidak memihak kepada Greece selepas tewas kepada Rusia pada dua kejohanan terakhir Euro.

Rusia muncul satu-satunya pasukan yang menewaskan Greece sebelum bangkit memenangi gelaran juara Euro 2004.

Pada Euro 2012, Rusia mengungguli kedudukan teratas dalam Kumpulan A selepas mengumpul empat mata dan menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan pertama.

Sementara itu, jurulatih Greece, Fernando Santos memberitahu, beliau yakin Rusia tetap akan mengekalkan corak permainan menyerang yang dimiliki.

"Mereka (Rusia) hanya perlukan seri tetapi saya tidak lihat skuad itu akan mengubah corak permainan mereka.

"Selalunya, pasukan-pasukan besar tidak akan risau dengan perkara seperti ini. Mereka memiliki barisan penyerang yang hebat dan pemain yang berkualiti," kata Santos.

Dalam pada itu, Santos mengakui beliau akan melakukan perubahan dalam kesebelasan utama pasukan itu.

"Kami akan menurunkan pemain baharu pada pertemuan menentang Rusia. Kami memiliki pemain yang boleh berhadapan dengan situasi sukar ini," katanya.

Greece kehilangan penjaga gol utama, Costas Chalkias dan pemain pertahanan, Avraam Papadopoulos kerana masalah kecederaan manakala pertahanan utama, Sokratis Papastathopoulos kembali daripada pergantungan selepas dilayangkan kad merah pada aksi pertama, 8 Jun lalu. - AFP
06:44 0

Ireland akhiri cabaran


GDANSK, Poland - Jurulatih Republik Ireland, Giovanni Trapattoni mengakui bahawa pasukan itu melakukan terlalu banyak kesilapan mudah pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012.

Situasi itu menjadi punca yang menyebabkan dibelasah 0-4 oleh juara bertahan, Sepanyol di Stadium PGE Arena awal pagi semalam, sekali gus menjadi pasukan pertama yang terpaksa meninggalkan bumi Poland.

Kekalahan itu hadir beberapa hari selepas Ireland tewas 1-3 kepada Croatia pada aksi sulung Kumpulan C.

"Saya tidak nampak tekanan seperti ini semasa sesi latihan tetapi ini adalah simptom yang sangat jelas apabila kamu menghadapi sesuatu kejohanan dengan perasaan tertekan atau bimbang.

"Situasi itu menyebabkan kamu melakukan kesilapan.

"Ia berlaku ketika menentang Croatia dan berlaku sekali lagi petang ini (awal pagi semalam). Saya akan bertanya kepada para pemain bagaimana situasi ini boleh berlaku," kata Trapattoni.

Trapattoni berkata, sukar untuk menjelaskan situasi mengenai benteng pertahanan Ireland yang dianggap sangat mantap pada kempen kelayakan tetapi menjadi rapuh di Poland.

Ireland hanya memboloskan tiga gol daripada 14 perlawanan pada pusingan kelayakan dan tetapi kini, mereka sudah bolos tujuh gol meskipun baharu bermain dua kali pada Euro 2012.

"Sesuatu telah berubah. Corak permainan kami sangat berbeza ketika bermain pada sesi kelayakan dan kejohanan sebenar.

"Ketakutan dan tekanan telah menyebabkan kami melakukan kesilapan yang tidak pernah kami lakukan pada sesi kelayakan. Kamu boleh lihat tekanan dan bebanan yang perlu digalas para pemain," kata pengendali kelahiran Itali itu.

Trapattoni, 73, yang mempunyai kontrak bersama pasukan itu sehingga Piala Dunia 2014 berkata, beliau akan menggunakan perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Itali untuk menguji barisan pemain muda seperti pemain sayap, James McClean yang membuat penampilan pertama ketika tewas kepada Sepanyol.

"Ia adalah masa yang paling sesuai untuk memberi pendedahan. Apabila seseorang pemain beraksi dalam perlawanan seperti ini, dia akan memahami situasi sebenar permainan bola sepak di pentas antarabangsa," katanya. - AFP
Friday, 15 June 2012
13:43 0

Sepanyol Buat Ireland Tersingkir


REPUBLIK Ireland muncul pasukan pertama tersingkir daripada perebutan tempat ke suku akhir Euro 2012 selepas tewas 0-4 kepada juara bertahan, Sepanyol pada aksi kedua Kumpulan C, awal pagi tadi.

Gol-gol Sepanyol dijaringkan Fernando Torres pada minit ke-4 dan 70 serta David Silva (49) dan Cesc Fabregas (82).

Selepas turut tewas 1-3 kepada Croatia pada aksi sulung sebelum ini, Ireland tanpa sebarang mata sudah tidak mampu memintas dua pasukan teratas Kumpulan C – Sepanyol dan Croatia yang sudah mengumpul empat mata. Itali ketiga dengan dua mata.

Terdahulu pada satu lagi perlawanan awal pagi tadi, Itali dan Croatia terikat seri 1-1 apabila jaringan Itali menerusi sepakan percuma Andrea Pirlo pada minit ke-39 berjaya disamakan Mario Mandzukic untuk Croatia pada minit ke-72.

Aksi terakhir Kumpulan C bakal berlangsung awal pagi Selasa nanti dengan Sepanyol bertemu Croatia manakala Itali bertemu Ireland

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...