Searching...
Monday, 11 June 2012
22:35 0

'Untuk Apa Saya Nak Berlagak?' - Marsha


UMUM sudah tahu bahawa sebenarnya bukan mudah untuk seseorang artis baru berada selamat di dalam zon selesa sepanjang perjalanan karier mereka.

Sekurang-kurangnya, lima tahun pertama, mereka perlu berhadapan dengan kesukaran hidup termasuk dihambat pelbagai kontroversi dan isu yang mungkin mereka sendiri tidak mahu terlibat.

‘Syarat’ itu mungkin sudah dilalui oleh penyanyi Marsha Milan Londoh, 27, seawal dia menceburi bidang ini.

Namun, berbekalkan impian dan semangat juang yang kuat untuk bergelar anak seni, Marsha hadapinya jua walau pahit untuk ditelan.

Di sebalik kontroversi, Marsha juga berupaya meyakinkan mata masyarakat bahawa dia juga mampu berdiri sebagai seorang artis berbakat besar menerusi bidang nyanyian.

Malah, ia dibuktikan melalui penglibatannya di dalam Konsert Journey Through Song Datuk D.J. Dave di Istana Budaya (IB) baru-baru ini.

Bukan senang untuk seseorang artis baru mengadakan persembahan di pentas berprestij seperti IB. Dan Marsha berjaya membuktikannya.

“Tentunya saya berbangga kerana diberi peluang membuat persembahan di IB apalagi dapat bergandingan dengan D.J. Dave.

“Saya sedar sebagai artis baru, peluang begini tidak semua orang dapat. Lagipun pentas IB adalah dambaan semua penyanyi. Siapa yang tak mahu bukan?

“Adalah menjadi satu impian untuk saya buat persembahan sendiri di pentas itu satu hari nanti. Doakanlah," katanya.

Sengaja menarik pandangannya mengenai mulut-mulut jahat yang mungkin mengandaikan dia kini mendabik dada kerana berpeluang menyanyi di pentas IB, begini jawapan yang diberikan Marsha.

“Kalau itu persembahan solo saya sepenuhnya, lainlah cerita. Hakikatnya, saya cuma penyanyi jemputan. Untuk apa saya nak berlagak?

“Janganlah pula ada yang kata saya sekarang dah jadi artis gred ‘A’ atau harga saya melambung naik kerana saya dah buat persembahan di IB. Tolonglah, saya belum lagi capai kelas itu. Masih jauh lagi perjalanan saya.

“Tak pernah pula terlintas di fikiran untuk saya melabelkan diri sendiri sebagai artis berkelas ‘A’.

“Kalau ada yang mengandaikan begitu, saya harap lupuskanlah pandangan itu sebab masih banyak lagi yang perlu saya belajar.

“Namun saya tak nafikan, pengalaman menyanyi di IB adalah satu pengalaman berharga dan sukar untuk saya ungkapkan," katanya

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...