RENTETAN dari tuduhan beberapa individu kononnya Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 (AGM 14), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang diadakan pada 26 Mei lalu, tidak sah, Presiden Seniman, Zed Zaidi tampil memberikan penjelasan kepada media.
“Kita ada surat yang mengesahkan AGM lalu memang sah mengikut perlembagaan. Sebenarnya, benda ini berlaku bukan pada zaman saya saja, sejak dari zaman Presiden sebelum ini lagi, Datuk Aziz Singah, Dato’ Ismail Hudson dan Harun Salim Bachik. Bagi saya, isu ini merupakan agenda individu untuk kepentingan peribadi,” ujar Zed kepada media.
Baru-baru ini, Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) telah mengadakan satu perjumpaan di Finas, Jumaat lalu bagi menuntut agar AGM 14 yang diadakan pada 26 Mei lalu, dibatalkan kerana gagal memenuhi empat perkara dalam perlembagaan persatuan terbabit.
Difahamkan, AGM 14 tidak sah kerana pihak mereka gagal mengeluarkan notis mesyuarat kepada ahli secara sah, gagal membentang dan meluluskan minit mesyuarat AGM 13, gagal membentangkan laporan kewangan persatuan bagi 2011 dan gagal menunjukkan butiran transaksi pembelian sebuah bangunan di Setapak berjumlah RM330,000 serta kos ubahsuai bangunan itu sebanyak RM33,000.
“Perkara ini sengaja dicetuskan oleh individu yang tidak berpuas hati. Mereka menggunakan Persatuan lain bukan untuk agenda Persatuan itu, tapi untuk serang Seniman. Sebenarnya minit mesyuarat itu ada cuma ia telah disabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Perkara lain juga kita dah jelaskan masa AGM lalu dan majoriti telah bersetuju untuk meneruskan AGM,” ujar Zed lagi.
“Kita ada perlembagaan, apa yang mereka nak pun saya tak tahu. Jika, tak puas hati, perlembagaan itu orang lama juga yang buat. Bagi saya, kalah dan memang adalah adat, jadi jangan disebabkan emosi, kita buat tindakan yang melulu. Saya percaya, mereka yang cetus isu ini adalah segelintir individu yang tidak puas hati dari dulu lagi. Orang macam mereka ini virus dan saya anggap mereka Firaun kecil yang cuba merosakkan Persatuan.
“Sepatutnya kita bekerjasama dan bersatu. Buat apa nak hentam antara satu sama lain. Saya anggap ini cabaran dan tanggungjawab saya sebagai Presiden penggal ini. Saya dah buat laporan polis minggu lepas dan buat masa ini saya tidak menerima apa-apa lagi surat dari mahkamah. Mereka dah memalukan Seniman dan saya akan cuba selesaikan perkara ini mengikut kebijaksanaan serta mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya mengakhiri perbualan. - GUA
0 comments:
Post a Comment