Ikrimah Ibnu Abu Jahal: Bapanya Mati Kafir, Beliau Syahid Di Sisi Allah
Sudah tentu ramai yang menjuihkan bibir dan benci mendengar nama Abu Jahal, salah seorang pemimpin Quraisy yang zalim dan cuba membunuh Rasulullah SAW ketika di awal kelahiran Islam di bumi Mekah dahulu.
Nama Abu Jahal begitu sinonim dengan nama Abu Lahab, yang merupakan sekutu kuat kafir yang memerangi, menyeksa dan gemar membunuh umat Islam sewaktu itu.
Namun, tahukah kita bahawa meskipun Abu Jahal mati di dalam keadaan kufur kepada ke-Esaan Allah SWT, anak lelakinya, Ikrimah ibnu Abu Jahal adalah tergolong dari kalangan para syuhada yang gugur di medan perang kerana memperjuangkan kalimah tauhid?
Sejarah kelahiran Islam pada awalnya menyaksikan Ikrimah merupakan antara mereka yang menentang dan sangat membenci Muhammad SAW.
Ketika perang Badar, Ikrimah mengetuai pasukan tentera kafir di sayap kanan dan menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri bagaimana ayahnya, Abu Jahal terbunuh di tangan tentera Islam pimpina Rasulullah SAW.
Kebenciannya terhadap Baginda SAW semakin terbuku di hati dan Ikrimah mengetuai pula sayap kiri tentera kafir Mekah ketika perang Uhud, berpasangan bersama Khalid Al-Walid yang mengetuai sayap kanan dan mereka berjaya mengkucar-kacirkan tentera Islam ketika itu.
Ikrimah juga menyertai perang Khandak dan begitu garang mengelilingi parit untuk cuba menembusi parit yang dibina para muslimin di sekeliling kota Madinah Al-Munawwarah.
Begitu juga ketika kejadian Pembukaan Kota Mekah, Ikrimah yang sememang anti-Islam ketika itu cuba menyerang gerombolan muslimin sebelum digempur oleh pasukan Khalid Al-Walid yang sudah memeluk Islam sehingga menyebabkan anak Abu Jahal itu lari menyelamatkan diri dari dibunuh.
Ketakutan Ikrimah akhirnya membawanya bersembunyi di Yaman dan terpaksa meninggalkan isterinya, Ummu Hakim, di Mekah.
Ummu Hakim yang solehah, taat dan patuh pada suaminya nekad untuk pergi ke Yaman untuk bertemu suaminya dengan ditemani oleh seorang pembantu keluarga mereka yang berasal dari Rom.
Ditengah perjalanan mereka, Ummu Hakim cuba digoda untuk melakukan perbuatan sumbang oleh pembantu tersebut, namun isteri Ikrimah itu tetap setia pada suaminya dan bijak berhelah dari ancaman tidak bermoral itu.
Nasib menyebelahi Ummu Hakim apabila beliau diselamatkan oleh para penduduk di sebuah perkampungan Arab Badwi di pertengahan perjalanan dan pembantunya itu ditangkap serta dipenjarakan di situ.
Akhirnya dalam kepayahan, Ummu Hakim dapat bertemu dengan Ikrimah di Yaman dalam suasana yang sangat mengharukan dan penuh kasih sayang.
Menceritkan segala rintangan perjalannya kepada Ikrimah, Ummu Hakim juga memaklumkan kepada suaminya bahawa Rasulullah SAW telah mengampunkan segala dosanya sebelum ini dan merayu agar mereka kembali ke Mekah.
Terharu dengan keampunan dari Rasulullah SAW dan susah payah isterinya itu, Ikrimah kembali ke Mekah untuk bertemu Rasulullah SAW serta membuktikan bahawa beliau adalah di antara para sahabat yang ikhlas berjuang demi Islam.
Ikrimah kemudiaannya syahid di medan perang Yarmuk ketika tentera Islam berhadapan dengan tentera Rom dan anak lelaki Abu Jahal itulah yang berada di barisan hadapan serta berjaya menyekat kemaraan pasukan musuh.
Itulah hakikatnya betapa indah dan berharganya hidayah dari Allah SWT yang hanya diberikan kepada insan-insan terpilih di dalam dunia ini.
Bersyukurlah kita sebagai umat Islam yang begitu bertuah dilahirkan di dalam keadaan Islam sejak bayi di negara yang mengamalkan kebebasan agama yang meletakkan kedudukan Islam di kedudukan tertinggi.
Semoga dipelihara segala nikmat ini dari sebarang ancaman pihak yang cuba mencabar perlembagaan dengan mendesak agar bayi yang dilahirkan tidak diisytiharkan agamanya dan bebas memilih agama anutan hanya selepas berumur 18 tahun. Na’uzubillahiminzhalik!
0 comments:
Post a Comment