TIADA lagi yang perlu disembunyikan mengenai status hubungan pelakon Hanez Suraya dengan penyanyi Awi Rafael. Hubungan mereka yang selama ini menjadi tanda tanya dan cuba disimpan kemas, akhirnya terbongkar jua. Malah, bukan lagi rahsia kerana kedua-duanya memilih untuk tidak berahsia dan terbuka.
Kenangan wakil B*POP bersama Hanez di Paris ketika dia berada di ibu negara Perancis itu pada pertengahan Mei hingga awal Jun lalu turut menyaksikan gelagatnya yang asyik bercinta dengan Awi. Hanez ke sana menjalani penggambaran drama 13 episod, Dalam Hati Ada Taman (DHAT) arahan Michael Ang.
Pantang ada masa terluang dan tidak terikat dengan penggambaran, telefon bimbit miliknya pasti digodek sambil mencari isyarat Wifi. Malah, saat isyarat Wifi mula diterima, bukan main senyum lebar lagi Hanez mengemaskini perkembangannya di Twitter dan memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram.
Ketika itu, Hanez, 27, pasti leka melayan dan berinteraksi dengan peminatnya, termasuk Awi di laman sosial berkenaan. Kedua-duanya juga seperti tidak mampu menahan rindu apabila terpaksa berjauhan hampir dua minggu lebih dengan saling berbalas ucapan rindu.
“Tiga bulan kami serius bercinta. Tapi masih terlalu awal untuk menjangka kemungkinan yang mendatang dalam hubungan kami. Sebelum ini, saya memilih untuk tidak bercakap lebih hinggalah Awi bersuara kepada rakan media mengenai status sebenar hubungan kami.
“Sebagai wanita, Hanez tidak mahu dilihat keterlaluan dalam hal ini. Tetapi apabila sudah terang lagi bersuluh, saya hanya mengikut rentak Awi. Hanez selesa dan bahagia mengenalinya. Bukan nak memuji lebih Awi tetapi apa yang boleh dikatakan dia memang berbeza dengan lelaki yang saya pernah kenali sebelum ini.
“Malah, sepanjang berada di Paris, Hanez dapat tahu memang dia tak sanggup berjauhan terlalu lama. Rengsa jadinya. Dek perbezaan zon masa pun, kami hampir bergaduh manja sebab tak dapat nak berhubungan menerusi laman maya. Masa Hanez online, Awi pula sebaliknya dan Awi hubungi Hanez masa nak tidur,” katanya yang tidak ketinggalan membelikan Awi kasut jenama Dolce & Gabbana dan baju H&M.
Mengimbas kembali memori perkenalan mereka, Hanez yang muncul menerusi drama Suri bermula 11 Jun ini menerusi slot Azalea di TV3 (setiap Isnin hingga Khamis, 4 petang) mula bersua dengan Awi ketika sama-sama menghadiri promosi di Jom Heboh TV3 tahun ini di Melaka.
“Ikutkan kami mula kenal atas paksi kerja. Secara kebetulan pula, Hanez cukup meminati lagu dendangannya, Bila Aku Jatuh Cinta. Jadi dalam hati terselit juga hasrat mahu bergambar dengannya ketika itu. Dipendekkan cerita, Awi ada menyuarakan hasrat untuk mencari model klip video untuk single terbarunya, Asalkan Aku OK.
“Sekali gus ia memberi bayangan untuk mempelawa Hanez sebagai model lagu berkenaan. Keesokan harinya, pengurusnya ada menghubungi Hanez untuk bertanya lanjut mengenai pelawaan itu. Seterusnya kami ada bertukar pin Blackberry Messengar (BBM).
“Lucunya selama menjadi kenalan di BBM, kami jarang bertegur. Hinggalah pada suatu hari selepas lebih sebulan pertemuan di Jom Heboh Melaka, Awi menghubungi Hanez untuk berbincang lanjut soal pelawaan menjadi model klip video lagunya,” kata Hanez sambil memberitahu dia sudah menjalani penggambaran klip video lagu itu di Gold Coast, Sepang pada 5 Jun lalu.
Akui Hanez lagi, hingga saat ini dia tidak menyangka paksi kawan atau profesional itu tiba-tiba bercambah menjadi istimewa. Ada waktu lapang, kedua-duanya seperti insan bercinta lain pasti akan menghabiskan masa bersama berdating.
“Keluarga masing-masing pun mengetahui hubungan kami. Saya sendiri pun sudah bertemu dengan ibunya. Dia melayan saya dengan penuh teliti daripada A hingga Z termasuklah dalam soal makan minum. Pendek kata, dia ‘memantau’ keselamatan diri saya.
“Dialah yang selalu bertanyakan perihal saya sudah makan atau belum. Dia sangat menitikberatkan soal kesihatan hingga sanggup membeli vitamin untuk saya. Malah, dia sanggup memastikan saya selamat sampai di rumah selepas selesai menjalani penggambaran dengan kemudahan alat telekomunikasi,” katanya yang sering menerima nota suara berupa lagu mahupun nyanyian langsung daripada Awi sebelum tidur.
Nama penuh: Hanez Suraya Abd Aziz
Usia: 27 tahun
Tarikh lahir: 22 Ogos 1985
Bilangan adik beradik: Sulung daripada tiga beradik
Asal: KL
Kerjaya: Pelakon sepenuh masa
0 comments:
Post a Comment