LONDON - England bakal berdepan ujian sebenar pada aksi pemanas badan terakhir kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 menentang Belgium di Stadium Wembley awal pagi esok.
Ketika ini, skuad bimbingan Roy Hodgson semakin terdesak untuk meningkatkan moral selepas dikejutkan dengan masalah kecederaan pemain.
Selepas kehilangan khidmat Gareth Barry, skuad The Three Lions dikejutkan pula dengan kecederaan yang dialami seorang lagi pemain tengah, Frank Lampard.
Kecederaan yang dialami Barry dan Lampard telah menyebabkan England kekurangan pemain berpengalaman untuk mengemudi jentera tengah pasukan itu.
Situasi itu dianggap sebagai satu tamparan hebat buat England, sekali gus memaksa Hodgson menaruh keyakinan kepada kapten, Steven Gerrard dan Scott Parker.
Bagaimanapun, kem England sekali lagi dikejutkan dengan spekulasi mengenai tahap kecergasan Parker.
Pemain tengah Tottenham Hotspur itu dilaporkan masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan buku lali pada awal musim ini.
Meskipun jarang bermain bersama Spurs, Parker akan diturunkan pada aksi menentang Belgium.
Parker, 31, itu juga akan disenaraikan dalam skuad utama pada aksi pembukaan Euro 2012 menentang Perancis, 11 Jun ini.
Namun, situasi itu masih belum memuaskan hati Hodgson kerana beliau hanya boleh menurunkan Phil Johnson dan Jordan Henderson bersama-sama Gerrard.
"Ia satu tamparan yang hebat bagi pasukan kami (kecederaan Lampard), terutamanya ia berlaku selepas kami kehilangan Barry.
"Doktor juga tidak memberi jaminan bahawa Lampard akan bermain dalam semua aksi peringkat kumpulan dan ini bermakna kami terpaksa mencari penggantinya.
"Kehilangan Lampard adalah satu tamparan yang hebat kerana dia berada pada prestasi terbaik dan sudah tidak sabar beraksi pada Euro 2012.
"Dia telah memberi sumbangan yang besar pada pusingan kelayakan. Jadi, sangat kejam untuk mengetepikan Lampard kerana dia mengalami kecederaan sebelum pertandingan bermula," kata Hodgson
0 comments:
Post a Comment