LEIPZIG, Jerman - Jurulatih Jerman, Joachim Loew mengakui yang pasukan itu masih perlu bekerja keras untuk menghadapi kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012.
Loew menyuarakan kebimbangan itu meskipun Jerman berjaya menewaskan Israel 2-0 pada aksi pemanas badan sebelum Euro 2012 di Stadium Red Bull Arena awal pagi semalam.
Jerman akan memulakan kempen Kumpulan B menentang Portugal di Lviv, Ukraine pada 9 Jun ini.
Begitupun, selepas tewas dua daripada tiga perlawanan terakhir, skuad bimbingan Loew tampil dengan aksi yang lebih meyakinkan ketika menewaskan Israel.
Pada perlawanan tersebut, penyerang Bayern Munich, Mario Gomez meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-40 sebelum Andre Schuerrle dari Leverkusen yang masuk sebagai pemain gantian menambah gol kedua minit ke-82.
Selepas dikejutkan dengan kekalahan 3-5 kepada Switzerland di Basel, Sabtu lalu, Jerman berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan ketiga berturut-turut tahun ini.
"Ia adalah ujian terakhir yang sangat baik dan kemenangan ini akan memberikan kami momentum.
"Bukan semuanya berjalan lancar tetapi mencatat kemenangan sebelum Euro 2012 akan memberikan kami keyakinan.
"Kami masih perlu meningkatkan prestasi dan memperkemaskan jentera serangan. Secara keseluruhannya, kami semakin baik tetapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki dengan segera," kata Loew.
Jentera serangan Jerman semakin menunjukkan peningkatan berbanding ketika bermain di Basel tetapi kapten, Philipp Lahm masih belum berpuas hati dengan persembahan pasukan itu.
"Kami memiliki ramai pemain berkualiti dalam pasukan ini dan kini, kami perlu membuktikannya.
"Kami mempunyai kombinasi yang baik. Ia tidak selalunya berjalan dengan sempurna.
"Sebab itu, kemenangan ini sangat penting," katanya
0 comments:
Post a Comment