Jurulatih, Tai Beng Hai menjelaskan, meskipun peluang ke pentas final sudah tertutup, hanya kemenangan ke atas pasukan yang menduduki ranking kesembilan dunia itu sahaja mampu menebus kekalahan 1-4 kepada New Zealand pada aksi kelmarin.
Jika berjaya mengalahkan Argentina, Malaysia yang kini berada pada ranking ke-13 dunia, sekurang-kurangnya mampu layak ke perlawanan klasifikasi kelima/keenam.
Jika bernasib baik, Malaysia akan layak ke perlawanan klasifikasi ketiga/keempat, namun mereka perlu mengharapkan Pakis- tan membenam Britain dan Korea Selatan tunduk kepada New Zealand.
"Kekalahan kepada New Zealand semalam (kelmarin) jelas sekali telah menutup peluang kita untuk layak ke final.
"Oleh itu, kita perlu menang ke atas Ar- gentina pada aksi terakhir esok (hari ini) sekiranya mahu sekurang-kurangnya layak ke perlawanan klasifikasi kelima/keenam.
"Namun, peluang untuk layak ke perlawanan klasifikasi ketiga/keempat juga masih terbuka tetapi kita mungkin terpaksa mengharapkan kejutan (kekalahan Britain dan Korea Selatan) dalam situasi itu," jelas Beng Hai kepada Kosmo! semalam.
Menurut Beng Hai, prestasi barisan pemainnya sepanjang kempen kali ini masih berjaya memuaskan hatinya selepas merekodkan satu kemenangan, dua seri dan dua kali tewas.
Dalam lima aksi sebelum ini, Malaysia seri 1-1 dengan Korea Selatan dan 3-3 dengan Britain, tewas 2-3 kepada India dan 1-4 kepada New Zealand dan menang 3-2 ke atas Pakistan.
"Bagi saya, prestasi keseluruhan pemain negara pada kejohanan kali ini masih bagus dan memuaskan.
"Kita berjaya mengikat Korea Selatan (No. 6 dunia) dan Britain (4), sebelum tewas tipis kepada India (10) dan tunduk kepada New Zealand (7).
"Harus diingat bahawa kesemua pasukan ini sudah pun layak ke Sukan Olimpik 2012 dan mereka juga berada pada ranking yang lebih bagus daripada kita.
"Jadi, kita kena lebih realistik kerana pasukan lawan pada kejohanan ini semuanya bagus-bagus, namun kita juga berjaya memberi tentangan sengit kepada mereka. Ini satu perkembangan positif buat skuad Malaysia," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment