Ramai yang telah tahu bahawa virus komputer merupakan sebahagian daripada program jahat yang boleh mempengaruhi operasi biasa sistem komputer. Virus komputer juga adalah program seperti program yang kita gunakan sehari-hari, seperti Microsoft Word dan lain-lain. Cuma, program lain digunakan untuk kebaikan, virus adalah sebaliknya.
Mengapa kita memanggil kod jahat ini virus komputer?
Saintis komputer telah menemui beberapa persamaan antara virus biologi (seperti "H5N1") dan virus komputer. Pertama sekali, kedua-duanya memerlukan perumah sebagai tempat tinggal. Dalam kes virus komputer, perumah biasanya adalah fail atau cakera yang telah dijangkiti. Kedua, kedua-duanya mampu mereplika (membuat salinan) sendiri dari satu perumah ke perumah yang lain.
Akhir sekali, kedua-duanya boleh mengakibatkan kerosakan pada perumah tersebut. Namun sekurang-kurang terdapat satu perbezaan: "virus komputer dicipta oleh manusia sementara virus biologi tidak begitu."
Apabila virus menyerang, kesannya bermula daripada paparan skrin yang menyakitkan hati hinggalah kerosakan data yang teruk dan mengakibatkan kemusnahan yang dahsyat.
Untuk memburukkan lagi keadaan, virus bernama "virus makro" menyertai dunia komputer pada 1995. Keupayaannya menjangkiti fail dokumen telah menidakkan pendapat yang mengatakan "virus hanya boleh menjejaskan fail program." Selain itu, kebiasaan bertukar-tukar dokumen antara pengguna komputer telah menyemarakkan lagi penyebaran virus makro.
Namun begitu, dengan langkah balas yang bertepatan, kita masih dapat mencegah atau mengurangkan kehilangan dan kerugian akibat jangkitan komputer.
0 comments:
Post a Comment