MESSI (kanan) dan rakan-rakan sepasukan meraikan kemenangan 3-1 Barcelona ke atas Milan di Stadium Nou Camp awal pagi semalam.
PARIS - Lionel Messi melakar satu lagi sejarah ketika membantu Barcelona menewaskan AC Milan 3-1 untuk menempah slot ke separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Penyerang Argentina itu mencipta rekod baharu dalam pertandingan berprestij di Eropah itu apabila menjaringkan gol ke-51 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10.
Messi, 24, turut melepasi rekod jaringan terbanyak dalam saingan Liga Juara-Juara bagi tempoh satu musim apabila menjaringkan 14 gol.
Sebelum ini, rekod tersebut menjadi milik penyerang Malaga, Ruud van Nistelrooy yang meledakkan 12 gol ketika bersama Manchester United pada musim 2002-03.
Pada aksi di Stadium Nou Camp itu, Antonio Nocerino memberikan kelebihan jaringan di tempat lawan kepada Milan apabila dia meledakkan gol penyamaan pada minit ke-31.
Bagaimanapun, Messi kembali meletakkan Barcelona di depan selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti kedua untuk menyamai rekod bekas penyerang Milan, Jose Altafini yang menjaringkan 14 gol dalam satu musim pada kempen Piala Eropah 1962-63.
Jaringan Andres Iniesta pada minit ke-52 melengkapkan kemenangan skuad bimbingan Pep Guardiola itu, sekali gus menjadi pasukan pertama yang layak ke separuh akhir sebanyak lima kali berturut-turut sejak dilakukan oleh Real Madrid pada akhir tahun 1950-an.
Barca yang memburu slot ke final buat tahun ketiga berturut-turut dijadualkan bertemu pemenang antara Chelsea dan Benfica yang bermain di Stamford Bridge awal pagi tadi.
"Apabila kami bertemu sebuah pasukan seperti Milan, kami perlu sedar bahawa tugas kami belum berakhir selagi pengadil belum meniup wisel penamat.
"Kami perlu bekerja keras dan kami berasa seronok apabila berjaya ke separuh akhir.
"Mari kita lihat apa yang akan berlaku pada perlawanan esok (awal pagi tadi) dan lihat siapa bakal menjadi lawan kami di separuh akhir (Chelsea-Benfica)," kata Iniesta.
0 comments:
Post a Comment