AGUERO (kanan) dan Tevez saling memahami corak permainan masing-masing kerana telah lama beraksi dalam skuad Argentina.
LONDON – Sergio Aguero percaya dia dan rakan senegaranya dari Argentina, Carlos Tevez mampu membantu Manchester City menjuarai gelaran Liga Perdana England musim ini.
Dua penyerang itu mempamerkan gandingan yang baik dengan menyumbang tiga gol ketika City menewaskan West Brom di Stadium Etihad, Rabu lalu.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan Tevez menjaringkan gol pertamanya setelah kembali semula menyertai skuad utama City, sementara Aguero pula meledak dua gol untuk menambah koleksi jaringannya kepada 26 gol musim ini.
Dengan baki lima lagi perlawanan, peluang City untuk memenangi kejuaraan musim ini dilihat agak tipis setelah terpisah lima mata dengan pendahulu, Manchester United.
Begitupun, Aguero menegaskan, skuad kendalian Roberto Mancini itu tidak akan menyerah kalah begitu sahaja, malah berharap gandingannya dengan Tevez mampu menghasilkan lebih banyak gol untuk City.
“Jelas sekali Carlos seorang pemain yang hebat, seperti Edin Dzeko dan juga Mario Balotelli tetapi kami telah lama bermain bersama ketika dalam skuad kebangsaan Argentina.
“Disebabkan itu, dia tahu pergerakan saya, jadi gandingan kami mampu melakukannya dengan lebih baik lagi. Apa yang paling penting ialah kami semua gembira.
“Kami semua telah beraksi dengan baik tetapi saya rasa lebih bagus kalau Carlos terus menyumbang gol.
“Dia seorang pemain yang penting kerana dia memiliki banyak pengalaman beraksi dalam Liga Perdana England,” katanya. – Agensi
0 comments:
Post a Comment