PUSINGAN akhir Kejuaraan Bola Sepak Eropah (Euro) edisi ke-14 akan berlangsung di Poland dan Ukraine bermula 8 Jun hingga 1 Julai 2012.
Ini kali ketiga pusingan akhir Euro dianjurkan bersama oleh dua negara selepas Belgium/Belanda pada 2000 dan Austria/Switzerland pada 2008.
Enam belas negara akan berentap membabitkan 31 perlawanan keseluruhan dalam misi memburu gelaran sebagai juara Eropah.
Format pertandingan empat negara itu di bahagikan dalam empat kumpulan akan digunakan pada pusingan akhir kali ini.
Begitupun, format pertandingan ini akan diubah pada edisi Euro 2016 selepas pasukan yang akan bertanding nanti ditambah kepada 24 negara.
Euro 2012 ini membabitkan lapan buah stadium iaitu empat di Poland - Gdansk, Poznan, Warsaw, Wroclaw dan empat lagi di Ukraine - Donetsk, Lviv, Kharkiv and Kyiv.
Perlawanan pembukaan akan diadakan di Warsaw pada 8 Jun dan final pula dijadualkan berlangsung pada 1 Julai di Kyiv.
Diramalkan lebih 1.4 juta peminat bola sepak dunia akan memenuhi stadium dan menonton perlawanan secara langsung di televisyen di lebih 200 negara di dunia.
Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini menyifatkan kejohanan Euro 2012 ini bakal menjadi satu lagi bukti tentang kehebatan dunia bola sepak Eropah.
“Saya yakin Euro 2012 akan menjadi satu persaingan bola sepak yang lebih terbuka dan semakin hebat,” kata Platini.
“Sebanyak 53 negara telah bersaing untuk layak ke pusingan akhir ini dan hanya 16 pasukan sahaja yang berjaya meneruskan misi mereka.
“Malah, saya juga yakin bintang-bintang baharu akan mula menyinar pada Euro 2012 kerana persaingannya yang semakin kompetitif sekali gus memberi kesan positif kepada bola sepak Eropah,” jelasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment