Searching...
Saturday, 14 April 2012
11:11 0

Jones taruhan Liverpool

JONES diberi tanggungjawab besar mengemudi benteng terakhir Liverpool malam ini


LIVERPOOL – Penjaga gol ketiga Liverpool, Brad Jones bersedia diturunkan pada menentang Everton pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley malam ini.
Jones kini menjadi pilihan utama Liverpool selepas dua penjaga gol - Pepe Reina dan Alexander Doni tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan.
Selepas Reina, Doni turut ditimpa nasib yang sama apabila dilayangkan kad merah ketika Liverpool melakar kemenangan 3-2 ke atas Blackburn Rovers di Ewood Park pada Khamis lalu.
Dengan ketiadaan Reina dan Doni, penjaga gol muda Australia itu kini mendapat kepercayaan pengendali The Reds, Kenny Dalglish.
“Saya percaya dengan kemampuan Jones. Dia telah membuktikan kehebatannya apabila menyelamatkan sepakan penalti tempoh hari (ketika menentang Blackbrun),” kata Dalglish.
Sebelum ini, Jones jarang diturunkan sejak menyertai Liverpool dari Middlesbrough pada Ogos 2010 kerana sering dibayangi Reina dan Doni.
Reina masih menjalani penggantungan perlawanan selepas dibuang padang ketika menentang Newcastle United pada 1 April lalu.
Aksi malam ini juga pastinya mengundang emosi kedua-dua pasukan ekoran tragedi Hillsborough yang mengorbankan 96 penyokong The Reds ketika menentang Nottingham Forest pada saingan separuh akhir Piala FA 1989.
Liverpool yang ketika itu turut dikendalikan Dalglish kemudiannya mara ke final sebelum menewaskan Everton.
“Ia pasti menyentuh emosi kedua-dua pasukan, rasanya seperti baru semalam tragedi itu berlaku.
“Sudah pasti, peminat akan menghargai perlawanan ini sebaik mungkin sebagai tanda kebangkitan kedua-dua pasukan yang cukup bermaruah sejak 1989,” kata Dalglish.
Dalam pada itu, pengurus Everton, David Moyes tidak sependapat dengan Dalglish berhubung kredibiliti pengadil, Howard Webb yang ditugaskan mengadili perlawanan malam ini.
Terdahulu, Dalglish meluahkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Webb yang dianggap ‘berat sebelah’ ketika Liverpool seri 1-1 dengan Aston Villa minggu lepas.
Malah, keputusan Webb melayangkan kad merah kepada kapten, Steven Gerrard ketika menentang Manchester United di Old Trafford musim lepas juga masih berbekas di hati Dalglish dan penyokong setia The Reds.
“Saya menghormati dan tidak pernah mempertikaikan kredibiliti Webb.
“Pengadil juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Di Everton, integriti pengadil tidak pernah dipersoalkan sama sekali,” tegas Moyes. – Agensi

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...