Searching...
Saturday, 31 March 2012
16:00 0

Tiada sasaran pingat di UTCWC

MUHD. ARFY turut tersenarai ke Melbourne.


SKUAD trek berbasikal negara tidak menyasarkan sebarang pingat pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI (UTCWC) 2012 di Melbourne minggu depan.

Ini kerana mereka mahu memberi tumpuan kepada misi penting pada Sukan Olimpik 2012 London, Ogos nanti.

Meskipun Malaysia berpotensi memenangi kilauan pingat di UTCWC menerusi jaguh pecut negara, Azizulhasni Awang dan pemenang pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Josiah Ng, pengurus skuad trek kebangsaan, Datuk Naim Mohamad bagaimanapun menjelaskan, misi mereka di Melbourne kali ini hanyalah untuk layak ke final.

Jelas Naim, ini kerana Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mahu memastikan kesemua pelumba negara mencapai kemuncak prestasi masing-masing di London dalam usaha membawa pulang kilauan emas pertama buat negara pada temasya sukan terbesar di dunia itu nanti.

“Kita sebenarnya tidak mahu pelumba-pelumba kita mencapai kemuncak prestasi mereka di Melbourne kerana keutamaan sebenar PKBM adalah mahu mereka berada dalam prestasi terbaik pada Sukan Olimpik, Ogos depan,” kata Naim kepada Kosmo! semalam.

“Sekiranya pelumba kita menang di UTCWC, mereka akan mempunyai masa lebih kurang dua bulan untuk kembali semula ke prestasi lima bintang (kemuncak).

“Jadi, bagi saya agak sukar buat pelumba kita berada semula ke prestasi lima bintang ini sebanyak dua kali dalam masa dua bulan. Oleh itu, lebih baik mereka kekalkan prestasi empat bintang ini di Melbourne,” jelasnya lagi.

Malaysia akan menghantar lapan pelumba bagi menyertai lapan acara pada UTCWC yang bermula pada 4 hingga 8 April ini.

Lapan pelumba tersebut ialah Azizulhasni (keirin dan pecut), Josiah Ng (keirin), Mohd. Edrus Md Yunos (keirin, pecut, 1km ujian masa individu), Muhd. Arfy Qhairant Amran, Mohd. Fattah Amri Zaid, Malek Marcus McCrone (pecut berpasukan), Mohd. Harrif Salleh (scratch) dan Fatehah Mustapa (keirin, pecut, ujian masa individu wanita).

Pada kejohanan edisi tahun lalu di Apeldoorn, Belanda, skuad negara gagal membawa pulang sebarang pingat biarpun dua tahun sebelum ini pernah meraih pingat perak menerusi Azizulhasni dalam acara keirin (2009 dan 2010) dan Mohd. Rizal Tisin memperoleh gangsa dalam acara 1km ujian masa (2009).

Biarpun keutamaan kali ini lebih diberikan kepada Sukan Olimpik London, Naim bagai- manapun menjelaskan bahawa kempen di Melbourne nanti tetap penting dalam aspek pendedahan kepada pelumba-pelumba muda seperti trio pecut remaja dan juga pelumba lebuh raya, Harrif Salleh.

“Saya berharap pelumba kita berada dalam keadaan terbaik dan bersedia sepenuh- nya apabila turun beraksi,” kata Naim.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...