SELEPAS meraih populariti menerusi teater Puteri Gunung Ledang dan filem Hikayat Merong Mahawangsa, Stephen Rahman Hughes mahu menonjolkan pula sisi bakat vokalnya yang mantap itu menerusi album pertama.
Menjadikan namanya sebagai tajuk album, lagu-lagu yang ditampilkan Stephen memberikan gambaran tentang jiwa dan karakter sebenar dia beliau.
Memuatkan sebanyak lapan buah lagu seperti Sejuta Rasa, Hati Berbisik (menampilkan Jaclyn Victor), Di Ribaan Cinta, Bertemu Di Syurga, Bawalah Aku, Cinta Masih Ada, Ekspressi dan Ku Lepas, ia mendapat sentuhan daripada komposer-komposer hebat seperti Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Kevin Chin dan Tinta S.
Istimewanya tentang album ini, Stephen bukan sahaja tampil dengan lagu balada, tetapi muzik-muzik pop dan rock alternatif juga diselitkan. Ternyata jiwanya universal dalam memilih genre muzik sebagai pilihan.
Kemahiran bahasa Melayu yang dimiliki Stephen membuatkan nyanyiannya boleh menyentuh jiwa dan halwa telinga pendengar, walaupun ada kalanya sebutan nyanyian anak kelahiran London ini kedengaran agak pelat.
Tolak ke tepi soal sebutannya, kerana nyanyian Stephen masih lagi jelas dan tidak mengganggu melodi muzik balada yang dibawakan dengan vokal besarnya yang mantap itu.
Penampilan istimewa bersama Jaclyn Victor menerusi lagu Hati Berbisik antara lagu yang wajib didengar dalam album ini.
Lebih-lebih lagi paduan suara kedua-dua mereka begitu menjadi dan ciptaan lagu dan liriknya cukup 'solid', gubahannya cukup indah.
Secara keseluruhannya, percubaan Stephen menghasilkan album pertama menggunakan pertuturan bahasa Melayu boleh dikira satu usaha yang membanggakan, sekurang-kurangnya dia mencuba.
Lagu Pilihan: Hati Berbisik, Cinta Masih Ada dan Ekspressi