Searching...
Monday 23 April 2012
11:44 0

Reva teruja peminat terima seadanya



Nama figura, Revalina S Temat bukan lagi nama asing dalam dunia sinetron lebih-lebih lagi Revalina menjadi antara pelakon terawal dari seberang yang berjaya membawa fenomena sinetron di negara ini.
Ternyata lakonan aktres yang senang dipanggil Reva ini berhasil apabila watak yang dimainkan menerusi sinetron Bawang Putih Bawang Merah memberi kesan yang mendalam kepada penonton di Malaysia.

Sejak itu, namanya menjadi perbualan hangat di negara ini dan dia mula diterima baik oleh penonton yang senang dengan lakonannya itu.

“Pada 1999, saya telah memenangi pertandingan Gadis Sampul dan dari situlah saya kemudiannya melebarkan sayap ke bidang lakonan dan model.

“Saya tidak pernah menyangka lakonan menerusi Bawang Putih Bawang Merah berjaya mengangkat nama saya sebagai seorang pelakon lebih-lebih lagi ianya juga diterima baik oleh penonton di Malaysia,” katanya.

Selain terlibat dengan lakonan sinetron, bakat dan kebolehannya juga diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah tempatan untuk membintangi lakonan filem.

“Saya bersyukur dan gembira kerana diberi kepercayaan untuk membintangi filem pertama Pocong 2 yang ditayangkan pada 2006.

“Pengalaman berlakon dalam sesebuah filem amat berharga buat diri saya walaupun ketika itu saya masih mentah dalam lakonan,” ujarnya.

Harum nama negara
Terbaru, Reva dikhabarkan telah membintangi sebuah drama 30 episod berjudul Saranghae yang bakal ditayangkan di kaca televisyen seberang pada Julai akan datang.

Apa yang menariknya tentang drama tersebut, aktres kelahiran Jakarta ini telah digandingkan bersama penyanyi berasal dari Korea, Tim.

“Drama ini adalah merupakan projek kerjasama dua buah negara yang berkisarkan tentang percintaan pasangan kekasih yang berasal dari negara berbeza. Saya terlibat dalam penggambaran drama ini sejak Mac lalu di mana lokasi penggambarannya juga dilakukan di kedua- dua negara.

“Saya menerima tawaran lakonan ini sebagai satu penghormatan kerana ianya melibatkan kerjasama antara dua negara di mana saya sendiri akan membawa imej Indonesia,” katanya.

Selain itu, Reva juga mengatakan dirinya telah melakukan yang terbaik dalam lakonan itu memandangkan tidak semua pelakon berpeluang menerima tawaran yang sama.

“Saya harap penonton dapat menerima baik lakonan saya. Walaupun sudah banyak membintangi filem dan drama, saya akui masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dalam lakonan saya,” katanya.

Fokus dua bidang
Lumrah buat seorang selebriti yang kisah peribadinya sentiasa menjadi perhatian pelbagai pihak.

Tidak terlepas dengan perkara yang sama, Reva menganggap ianya sebagai satu cabaran buat dirinya untuk terus berkecimpung dalam dunia seni.

Hubungan percintaannya yang pernah terjalin bersama jejaka berketurunan Arab, Panji Trihatmodjo yang tidak bertahan lama sehingga kini masih lagi menjadi buah mulut di kalangan peminatnya.

“Buat masa ini saya tidak mahu memikirkan perkara yang sudah berlalu malah saya mahu menumpukan kerjaya dan perniagaan restoran yang masih lagi memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Saya selesa hidup seperti ini dan belum pernah terfikir untuk mencari pasangan dalam masa terdekat. Belum tiba masanya untuk saya memikirkan soal jodoh,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...