KUALA LUMPUR – Selepas pengunduran dua orang artis wanita yang menyandang watak Tun Dr. Siti Hasmah ketika usia dewasanya dalam ‘Teater Tun Dr. Siti Hasmah’, Siti Shahrizah Saifuddin, 40, atau mesra dipanggil Eja setuju untuk menggantikan tempat Erra Fazira dan Datin Sofia Jane.
Menerusi laporan dari Kosmo Online, Eja menerima tawaran selepas satu-persatu artis yang ditawarkan watak itu menarik diri hanyalah kerana ingin mencabar bakat dirinya.
Justeru, dia tidak mahu membebankan diri dengan kisah dan sebab kenapa dua artis wanita sebelumnya ‘tidak menjadi’ untuk menjayakan teater bersejarah itu.
Malah, dia mahu melakonkan watak itu dengan berjaya.
“Saya sahut cabaran Datin Paduka Ummi Aida dan Erma Fatima, malah saya cabar diri untuk terima dan menjayakan peranan ini. Saya tidak mahu ambil tahu kenapa dua pelakon sebelum ini mengundurkan diri.
“Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik. Bagi saya, tiada satu produksi yang sempurna. Tidak kira ia filem, drama mahupun teater, pasti akan berlaku masalah. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah,” kata Eja.
Bakal ditayangkan pada 9 hingga 19 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Eja mengakui dia berasa gementar untuk menggalas tugas yang berat itu.
Eja sendiri tidak dapat melarikan perasaan gementar dalam dirinya walaupun sudah menjadi pelakon dalam masa yang agak lama.
Jadi, kemunculan kali pertamanya dalam dunia teater sedikit sebanyak turut menyumbang kepada perasaan takutnya.
“Bohong jika saya tidak berasa gementar. Perasaan saya bercampur baur. Teruja dan dalam masa yang sama gementar.
“Namun saya akan pastikan perasaan gementar itu bukan menjadi halangan untuk saya melakukan yang terbaik. Sebenarnya perasaan gementar itu bagus untuk menjadikan diri saya lebih bersedia memikul peranan itu nanti,” katanya.
Oleh: NAIMAH SHAARI
makasihh atas info2 nya gan
ReplyDelete