SEJUMLAH wanita beratur untuk mengundi pada pilihan raya Dewan Perhimpunan Nasional di sebuah pusat membuang undi di Tripoli semalam.
TRIPOLI/BENGHAZI – Penduduk Libya yang girang dengan sebahagiannya menitiskan air mata, berpisah dengan legasi Muammar Gaddafi semalam apabila mereka mengundi dalam pilihan raya umum bebas pertama yang diadakan dalam tempoh lebih 50 tahun.
"Sukar untuk saya menceritakan perasaan saya. Kami (rakyat Libya) membayar harga tinggi untuk kebebasan ini (pilihan raya),” kata Zainab Masri.
Bertugas sebagai seorang guru, Zainab, 50, ialah wanita pertama yang membuang undi di sebuah pusat mengundi di Tripoli semalam.
“Dua ahli keluarga saya mati semasa kebangkitan menentang Gaddafi. Saya yakin masa depan akan lebih baik buat Libya,” ujarnya.
Namun, di Benghazi dan beberapa bandar lain di selatan Libya, sebanyak 101 pusat membuang undi terpaksa ditutup buat sementara waktu semalam akibat perbuatan sabotaj.
“Terdapat 94 peratus pusat mengundi di Libya yang dibuka,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Nuri Al-Abbar kepada wartawan di ibu kota Libya, Tripoli.
Menurutnya, proses membuang undi berlangsung di 1,453 daripada 1,554 pusat mengundi di seluruh negara.
“Sebahagian pusat mengundi tidak dibuka atas sebab keselamatan dan logistik,” ujar Nuri.
“Kami sedang menangani masalah ini dengan menghantar bahan mengundi ke pusat-pusat tersebut supaya orang ramai boleh mula mengundi,” tambahnya selepas lima jam proses mengundi bermula di Libya pada pukul 8 pagi.
Menurut Nuri, kebanyakan perbuatan sabotaj berlaku di timur Libya yang merupakan pusat kebangkitan rakyat Libya menentang Gaddafi pada tahun lalu.
Jelasnya, sebahagian penduduk rantau berkenaan yang kaya dengan minyak, menentang pilihan raya tersebut kerana mahukan pemerintahan autonomi.
Sekitar 3,700 calon bertanding pada pilihan raya berkenaan yang dinamakan pilihan raya Dewan Perhimpunan Nasional yang bertujuan untuk memilih 200 anggota dewan Parlimen sementara Libya.
Anggota dewan berkenaan ditugaskan untuk memilih seorang Perdana Menteri dan membentuk perlembagaan baharu sebelum pilihan raya Parlimen penuh diadakan pada tahun depan.
Antara parti politik yang dilihat berpeluang untuk menang dalam pilihan raya tersebut termasuk Parti Keadilan dan Konstruksi yang dinaungi pegerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan parti Al-Watan.
0 comments:
Post a Comment