Searching...
Wednesday, 6 June 2012
11:09 0

Sudah Tidak Mahu Fikir Soal Jodoh Lagi - Nora Danish Hanya Berserah

TERNYATA ketenangan yang diperolehi ketika berada di Mekah baru-baru ini tidak berpanjangan apabila kepulangannya disambut dengan kontroversi. Sebaik sahaja kaki mencecah ke bumi tercinta, namanya terpalit sebagai ‘orang ketiga’ yang hampir menyebabkan keruntuhan rumah tangga rakan selokasi, Adi Putra yang membuat keputusan untuk bercerai dengan isterinya hanya selepas dua hari pulang mengerjakan umrah.

Biarpun dia sudah menafikan perkara tersebut dan perkahwinan Adi Putra juga sudah kembali pulih, Nora Danish mengakui dirinya masih terkejut dengan kontroversi tersebut.

Pun begitu, sebagai insan yang lebih mengetahui kebenaran yang berlaku dalam kehidupannya, dia pasrah dengan setiap dugaan yang melanda.

Justeru wanita muda ini tidak mahu terlalu ambil pusing dengan gosip itu. Malah dia mengakui pemergiannya mengerjakan umrah telah memberikan satu ketenangan hakiki yang tidak mampu dijual beli.

Merupakan kali kedua melaksanakan ibadah umrah, menurut Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd. Hanif, dia memang sudah menyimpan niat untuk ke tanah suci Mekah setiap tahun.

Berkongsi pengalaman di sana menurut wanita berusia 30 tahun itu, pemergiannya kali ini agak berbeza daripada pengalaman kali pertama yang dilalui setahun yang lalu.

“Jika tahun lalu saya lebih banyak berdoa untuk kehidupan, kebahagiaan dan jodoh namun kali ini saya lebih banyak berserah kepada-Nya," katanya yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan tidak mahu lagi memikirkan soal jodoh namun kata Nora, adalah lebih baik untuknya berserah kepada Yang Maha Esa kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik buat hamba-Nya.

Sebagai duta syarikat Triways Hujjaj International Services Sdn. Bhd. (This), Nora turut memberitahu, sepanjang 13 hari di sana pada April lalu, dia sangat senang dengan para jemaah lain yang tidak lokek berkongsi ilmu denganya.

“Bukan tidak mahu memikirkan soal jodoh cuma bezanya kali ini saya lebih berserah. Dan sepanjang berada di sana juga saya banyak menghabiskan masa dengan jemaah yang dianggap saya seperti ibu sendiri. Selain beribadah saya juga berkongsi ilmu dengan mereka," katanya gembira.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...