Searching...
Wednesday 6 June 2012
10:43 0

Kedatangan Orang Baru - Nabil Tidak Mahu Terlalu Teruja

TIADA apa yang lebih menggembirakan hati seorang suami apabila mengetahui sang isteri kini sedang mengandungkan zuriat pertama mereka.

Begitu juga dengan pelawak popular, Nabil yang kini sedang berbunga-bunga hatinya kerana isteri kesayangan, Nazirah Ayub berbadan dua selepas sembilan bulan melayari alam rumah tangga.

Mungkin bagi sesetengah pasangan, menerima kehadiran orang baru dalam kemanisan pelayaran alam rumah tangga yang tidak sampai setahun itu terlalu pantas tetapi tidak bagi Nabil.

Pelakon, pelawak, pengacara dan penyampai radio bernama penuh Ahmad Nabil Ahmad itu mengakui yang dia dan isteri sememangnya menantikan saat-saat itu.

Malah lelaki muda berusia 29 tahun itu mengakui yang dia dan isteri sudah bersedia mental dan fizikal untuk menerima orang baru dalam keluarga kecil yang dibina sejak September tahun lalu.

Dalam debaran menanti detik-detik bergelar seorang bapa dan ibu, Nabil dan Nazira, 24, turut berkongsi rasa bahagia dan pengalaman pertama yang kini sedang dilalui.

“Alhamdulillah usia kandungan isteri saya kini dua bulan tiga minggu. Kami berdua sebenarnya memang sudah lama menunggu detik ini.

“Isteri saya tahu dia hamil ketika usia kandungan sudah pun mencecah tiga minggu," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Bersedia dengan pelbagai perubahan yang bakal dialami isterinya, bagaimanapun Nabil memberitahu, buat masa ini Nazira masih belum mengalami sebarang alahan.

Pun begitu, kata Nabil, pada trimester pertama ini dia sudah dapat merasai perbezaan isterinya itu apabila melihat daripada jumlah makanan yang diambil.

“Tidak ada banyak perubahan cuma dia banyak makan dan tidur.

“Di awal kandungan ini kami masih lagi berjaga-jaga malah saya melarang isteri daripada melakukan kerja berat," katanya .

Tidak lokek berkongsi cerita dalam melayani kehendak dan kerenah isterinya yang sedang hamil itu, sambil bergurau Nabil berkata, selain terpaksa berhadapan dengan jerawat yang tiba-tiba menyerang wajahnya, dia kini juga banyak mengalah dalam memberi keselesaan buat isteri tercinta.

“Akhir-akhir ini kami berdua terpaksa berebut untuk membuka dan menutup penghawa dingin.

“Dia mahu tidur dengan penghawa dingin dan saya pula tidak mahu. Bagi memberi keselesaan kepadanya, saya mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu sahaja," katanya berseloroh.

Minum 100 botol susu kambing

Ditemui pada majlis pelancaran Evolusi R baru-baru ini, Nabil juga memberitahu, bahawa dia sanggup melupakan hobi yang paling diminatinya semata-mata untuk menjaga hati si isteri.

Menurut Nabil, sejak akhir-akhir ini dia sudah jarang menunggang motosikal kesayangannya.

“Dia (isteri) banyak mendengar cerita daripada rakan-rakannya mengenai kemalangan yang membabitkan motor.

“Untuk menenangkan dirinya, saya mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti bermotor ini," jelas Nabil.

Mengakui keinginan untuk bergelar ayah membuak-buak beberapa bulan yang lepas, dia dan isteri juga banyak berusaha mencuba pelbagai ikhtiar untuk memperoleh zuriat dengan cepat.

“Kami memang mahukan anak. Saya pernah membeli 100 botol susu kambing dan meminumnya hampir setiap hari. Kami mengikut petua yang diberikan beberapa kenalan.

“Ternyata pemberian (kehamilan) ini adalah berita paling menggembirakan kami berdua, akhirnya isteri saya disahkan mengandung," katanya teruja.

Biar perasaan teruja menanti kehadiran zurait sulung terserlah namun Nabil memberitahu, tidak mahu terlalu menunjukkan kegembiraan tersebut. Ini terutama dalam melalui fasa-fasa awal kehamilan seperti yang sering dinasihatkan oleh orang tua-tua.

“Saya dinasihatkan jangan terlalu teruja kerana tidak elok. Namun perasaan ini sukar disembunyikan kerana saya memang sudah tidak sabar lagi menunggu bulan 12 nanti," katanya sambil tersenyum gembira.

Tidak kisah akan jantina anaknya nanti menurut Nabil, sebagai seorang bakal ayah dia, menerima segala ketentuan yang telah ditetapkan.

Apa yang penting buat dirinya adalah kehadiran penyeri dalam keluarganya itu nanti berada di dalam keadaan yang sihat.

“Kalau boleh saya mahu seorang bayi lelaki. Tapi sebenarnya di kala ini saya tidak terlalu sangat memikirkannya," katanya yang menggunakan nama panggilan Adam untuk berbual dengan kandungan isterinya.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...