LONDON - Eden Hazard mengakui membuat keputusan menyertai Chelsea sebaik sahaja pasukan itu menewaskan Bayern Munich dalam final Liga Juara-Juara bulan lepas.
Terdahulu, bekas pemain Lille itu sah menandatangani kontrak bernilai £32 juta (RM155.3 juta) di Stamford Bridge semalam meskipun terlebih dahulu dikaitkan dengan Manchester City dan Manchester United.
Perancang Belgium itu memberitahu, dia yakin membuat keputusan yang tepat selepas tertarik dengan semangat luar biasa yang ditunjukkan pemain The Blues semasa menewaskan Bayern.
"Chelsea memiliki pemain yang berpengalaman beraksi di bawah tekanan.
"Selepas menyaksikan mereka mendakap trofi Liga Juara-Juara, saya bertanya kepada diri sendiri mengapa saya tidak menjadi sebahagian daripada mereka.
"Sebab itu, saya tahu saya telah membuat keputusan yang betul bagi menyertai Chelsea," katanya.
Malah, Hazard juga mengakui mendapatkan nasihat bekas pemain Chelsea, Joe Cole yang pernah dipinjamkan ke Lille dari Liverpool musim lepas.
"Saya pernah berbincang dengan Joe Cole dan dia memberitahu saya Chelsea adalah kelab yang sesuai buat saya.
"Bagi saya, menyarung jersi Chelsea bagaikan mimpi menjadi kenyataan dan tidak sabar untuk beraksi bersama mereka musim depan," katanya. - AFP
0 comments:
Post a Comment