BETAPA pun dia menyukai kuda, tidak pernah terlintas di fikiran pelakon, Diana Danielle, untuk memiliki haiwan terbabit mengenangkan kos penyelenggaraannya yang tinggi.
Namun, sempena ulang tahun hari lahirnya yang ke-19 dua tahun lalu, kekasihnya yang juga pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil, menghadiahkan haiwan berkenaan kepada si jelita ini.
Farid yang turut meminati haiwan berkenaan, di samping harga yang ditawarkan pula amat berpatutan, membuatkan lelaki terbabit tertarik untuk memiliki dua ekor kuda dari Argentina pada harga RM7,000.
Bagaimanapun, Diana yang mesra disapa dengan panggilan Dee, berkata kos penyelenggaraan dan keperluan haiwan itu diuruskan sendiri oleh kekasihnya. Kuda terbabit kini ditempatkan di sebuah kelab polo.
“Sebelum dapat hadiah itu, dia (Farid) bawa Dee ke sebuah kelab kuda dan Dee rasa pelik kerana dibawa ke situ. Apabila ditunjukkan seekor kuda dan dia kata itulah hadiah untuk Dee, memang Dee rasa sangat terkejut.
“Dia beli dua ekor kerana ditawarkan dengan harga yang rendah. Lagipun, dapatlah seorang seekor. Sayangnya, kuda Farid mengalami jangkitan pada kaki dan tidak dapat diselamatkan. Sebab itu Dee tak sanggup untuk membela kuda kerana penyelenggaraannya sangat rumit,” kata Diana yang kini giat mempromosikan filem terbaru lakonannya, Jiwa Taiko.
Menganggap dirinya bukan jenis suka meminta mahupun merajuk, setiap pemberian daripada Farid pula bukan kerana ingin memujuk hatinya. Sebaliknya kekasihnya itu gemar membuatkan dirinya menangis sebelum menghadiahkan sesuatu.
Melihat sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian di jari manisnya, Diana menjelaskan, barang kemas itulah pemberian paling bermakna baginya sepanjang tiga tahun menjalinkan hubungan cinta bersama Farid.
Kali pertama menerima sebentuk cincin pada hari ulang tahun percintaan mereka, pada 1 Januari lalu, cukup membuatkan hati Diana tersentuh dan ia sudah pasti mengukuhkan lagi ikatan kasih dua insan seni ini.
Malah, Diana mengakui dirinya cukup sebak sehingga menitiskan air mata ketika menerima pemberian cukup berharga itu.
Baginya, bukan nilai barangan itu yang dipandang, tetapi ketulusan hati Farid yang sangat memahami naluri wanita.
“Cincin mempunyai nilai sentimental tersendiri dan amat sinonim dalam perhubungan, jadi apabila dapat cincin, ia membuatkan Dee menangis. Sudahlah sebelum itu dia buat Dee menangis, apabila dapat cincin pun menangis lagi.
“Namun, cincin ini bukanlah tanda lamaran, tetapi sekadar bukti cinta kami. Kalau betul kami akan berkahwin ataupun dia melamar Dee, kami akan berterus-terang kerana bagi kami, lebih baik semua orang tahu mengenai perhubungan ini,” katanya yang menantikan kemunculan filem terbaru, Hantu Gangster, Azazil dan Hanyut.
Bukan tidak pernah membincangkan soal berumahtangga, tetapi masih belum terlintas di fikiran mereka untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat kerana masing-masing mahu menumpukan kepada kerjaya seni terlebih dulu.
0 comments:
Post a Comment