Anzalna hangat sensasi
BUNGA yang baru hendak berkembang ke dunia lakonan, Anzalna masih dalam situasi lega kerana perangnya bersama Neelofa belum sampai ke tahap melarat. Dia hanya menunggu tarikh yang bakal ditentukan pihak Persatuan Seniman untuk satu perjumpaan tertutup bagi menyelesaikan perbalahan itu secara baik.
Sejak pengacara Nona serta pelakon filem Azura, Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, mengemukakan tuntutan notis saman menerusi dua peguamnya kepada Anzalna pada pertengahan Jun lalu, baik atau buruk dua pucuk muda itu cukup panas diperkatakan. Impak yang paling ketara, daripada sekadar pelakon baharu yang tidak menonjol, pemilik nama Nur Anzalna Md. Nasir, 24, semakin diperhatikan.
"Saya lebih selesa menjadi Anzalna yang dahulu, tidak perlu menyusun kata-kata untuk memberi jawapan paling baik kepada wartawan dan jika habis kerja saya bebas buat aktiviti yang saya suka. Bukan tak suka dengan perhatian yang diberikan, tapi bentuk perhatian sebegitu buat saya kurang gembira," katanya mengakui merasa impak diperhatikan kerana hangat dilanda kontroversi.
SENIMAN
Saya lihat ia sebuah persatuan yang seboleh-bolehnya berusaha untuk kebaikan bersama para artis yang bernaung bawahnya. Saya ahli baharu tapi masalah saya mendapat perhatian yang sewajarnya. Saya serahkan kes saya itu kepada Seniman sebab persatuan sendiri sudah ada peguam yang bertauliah.
MAHKAMAH ATAU BERJABAT TANGAN
Saya pilih jalan penyelesaian yang tidak merumitkan keadaan. Status kepada penyelesaian itu belum ada tapi saya yakin akan ada jalan. Buat masa ini, saya tunggu dan lihat. Saya telah katakan, saya sanggup minta maaf kepada Neelofa.
RESPONS SEKELILING
Saya masih tidak berasa kekok jika ke lokasi penggambaran sebab ramai yang ambil berat dan selalu beri kata-kata semangat supaya saya jadi lebih kuat. Setakat ini tak ada insiden yang memalukan lagi selain saya sendiri yang merasa agak malu dikenali kerana pergaduhan sesama sendiri.
TEMAN LELAKI
Namanya Hanif Zaki, 24, dan dia sekarang menjalankan perniagaan sendiri. Dia seorang yang sangat rasional dalam apa sahaja yang berlaku di sekeliling saya. Dia okey sangat dan saya sendiri lega kerana tidak perlu menyembunyi status bercinta dengan sesiapa. Bagi saya, saya akan mengaku sahaja daripada memberi jawapan ‘no comment’ atau macam-macam alasan bila ditanya soal hati. Kalau asyik beri jawapan ‘no comment’ atau macam-macam alasan, kekasih sendiri pun boleh terasa hati.
KERJA LAKONAN
Sekarang saya masih di lokasi Adam & Hawa, sebuah drama bersiri 80 episod untuk Astro Bella. Watak saya biasa sahaja, mula-mula jahat kemudian jadi baik. Saya pegang watak Dee, wanita yang jatuh cinta terhadap Adam lakonan Aaron Aziz, malangnya cinta Dee tidak kesampaian. Masuk Julai, ada dua projek sedang menunggu, sebuah telemovie dan sebuah lagi drama bersiri. November nanti, filem pertama saya, Sepah The Movie akan masuk pawagam.
0 comments:
Post a Comment