SEREMBAN - Seorang wanita warga emas maut manakala 77 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan sebuah lori treler di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar ke Port Dickson di sini awal hari ini.
Roha Dol, 79, ahli wanita UMNO Batu Pahat meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di sini akibat kecederaan di kepala dan badannya.
Pengarah hospital berkenaan, Dr. Jaafar Che Mat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 5.40 pagi. Kesemua yang cedera pula dirawat sebagai pesakit luar di hospital itu.
Dalam kejadian pukul 2.58 pagi itu, dua bas berkenaan yang membawa ahli UMNO dalam perjalanan ke Melaka dan Batu Pahat, Johor setelah menghadiri sambutan ulang tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila bas yang membawa 40 ahli Puteri UMNO dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu yang hendak ke Melaka terlebih dahulu melanggar belakang sebuah treler ketika tiba di tempat kejadian.
Katanya, sebuah lagi bas yang membawa 44 ahli UMNO, sedang dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat pula mengekori dari belakang, gagal mengelak bas di hadapan itu lalu melanggar bahagian belakang bas berkenaan.
Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian malang tersebut. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment