Searching...
Friday, 1 June 2012
02:14 0

Torres akhiri kemarau gol



TORRES (kanan) menjaringkan gol pertama ketika Sepanyol menewaskan Korea Selatan 4-1 awal pagi semalam.


BERNE, Switzerland - Juara dunia, Sepanyol membelasah Korea Selatan 4-1 pada aksi pemanas badan kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 di Stadium Wankdorf awal pagi semalam.
Fernando Torres yang kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan Sepanyol membantu pasukan itu mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada aksi persahabatan antarabangsa menjelang Euro 2012 di Poland dan Ukraine.
Penyerang Chelsea itu mempamerkan kualiti sebenar untuk meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-11 iaitu jaringan ke-28 di pentas antarabangsa dan yang pertama dalam tempoh setahun.
Masih segar dengan kejayaan merangkul trofi Liga Juara-Juara bersama Chelsea, Torres kembali disenaraikan selepas digugurkan daripada skuad Sepanyol, Februari lalu.
"Keadaan fizikal dan mental saya berada pada tahap yang baik. Sesi latihan berjalan lancar dan kini saya tidak sabar untuk menghadapi perlawanan sebenar pada Euro 2012.
"Kadangkala apabila kamu tidak bermain dan situasi tidak berjalan lancar, ia memberi peluang kepada kamu untuk melihat gambaran yang lebih besar serta menilai semula kedudukan kamu.
"Ia adalah suatu penghargaan apabila saya berada di sini dan saya akan mengambil peluang ini, sekali gus berusaha untuk menjadikannya lebih bernilai.
"Ia adalah detik yang sukar tetapi saya berharap saat-saat sukar itu sudah berlalu," kata Torres.
Selain Torres, tiga lagi gol Sepanyol diperoleh menerusi sepakan penalti Xabi Alonso (52), Santi Cazorla (56) dan Álvaro Negredo pada minit ke-79.
Gol sagu hati Korea Selatan dijaringkan oleh Kim Do-heon pada minit ke-43.
Sementara itu, pengurus Sepanyol, Vicente del Bosque berkata: "Torres berasa sangat gembira dengan keputusan malam ini (awal pagi semalam) dan kami teruja apabila dia berada di sini. Sumbangannya sangat penting buat pasukan.
"Ia adalah satu persembahan menarik yang berjaya kami tampilkan. Situasi kelihatan sangat baik buat masa ini."
Sepanyol akan menghadapi aksi pemanas badan terakhir menentang China, Ahad ini sebelum kempen Euro 2012. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...