Searching...
Friday, 11 May 2012
17:41 0

Disebabkan Wanita Bernama Noor itulah, Bayi 10 Bulan Selamat


Video klip seorang ibu mendera anaknya yang berusia 10 bulan yang menjadi topik panas beberapa hari lalu telah mengundang marah banyak pihak bukan sahaja ke atas wanita berkenaan, namun juga terhadap perakam klip itu.

Ramai yang begitu marah mengapa tukang rakam terlepas dan hanya ibu kanak-kanak berkenaan dikenakan hukuman penjara 18 bulan.

Disebabkan simpati terhadap anak kecil terbabit, maka boleh difahami mengapa ramai antara kita yang tersinggung dengan keadaan itu.

Namun, laporan muka hadapan akhbar paling terkenal dan pilihan ramai pembaca di negara ini, Harian Metro memperjelaskan bahawa perakam berkenaan, Noor, 30-an adalah sebenarnya penyelamat kanak-kanak itu, bukannya seorang individu yang suka-suka merakam kejadian.

“Saya rakam semata-mata untuk diserahkan kepada polis kerana sudah tidak tahan lihat bayi itu kerap dikasari ibunya,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan hari ini.

Kes penderaan itu berlaku Mei tahun lalu di Petaling Jaya dan ibu kanak-kanak itu telah dipenjara 18 bulan manakala kanak-kanak itu kini selamat dan diletakan di bawah jagaan keluarga angkat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan keadaan kanak-kanak berkenaan dan berkata dia kini lebih ceria dan tidak trauma, bertentangan daripada apa yang disebarkan individu tertentu melalui laman sosial Facebook dan Twitter.

Selanjutnya Noor berkata, tujuan dia merakam klip itu adalah sebagai ikhtiar terakhirnya untuk menyelamatkan bayi berkenaan.

“Saya sangat sedih kerana sebelum itu sudah empat kali wanita terbabit yang juga rakan saya memukul bayinya dengan teruk termasuk menghumban ke dinding,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya.

Noor menjelaskan, ketika kejadian itu, dia berpura-pura memegang telefon bimbit kononnya untuk menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), sebaliknya merakam kejadian itu untuk dijadikan bahan bukti kepada pihak polis.

Katanya, ketika itu, dia ada meminta anak perempuannya yang berusia 9 tahun agar mengambil bayi berkenaan, namun anaknya itu juga dipukul wanita berkenaan yang dikenali sebaga Ira.

Melihat keadaan itu kata Noor, selepas hampir lima minit dia menghentikan rakaman dan bergegas mengambil bayi Ira lalu membawanya masuk ke bilik lain sebelum menguncinya dari dalam.

Noor kemudiannya menghubungi seorang rakan dan memintanya membuat laporan polis. Kira-kira satu jam selepas itu, polis tiba di rumahnya dan menahan Ira.

Noor menjelaskan, dia telah berulang kali menasihatkan Ira sebelum kejadian berkenaan agar jangan menjadikan anaknya sebagai tempat untuk melepaskan geram.

Ira dikatakan bertindak ganas akibat tekanan hidup terutama selepas ibunya meninggal dunia tahun lalu.

Selepas Ira ditahan, Noor sendiri telah menjaga kanak-kanak berkenaan selama tiga minggu sebelum diserahkan kepada JKM.

Noor juga memberitahu, bukan dia yang memuat naik klip berkenaan ke mana-mana media sosial kerana rakaman itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa sebelum ini.

Nampaknya ramai antara kita telah tersilap dan buruk sangka kepada Noor sedangkan kerana dialah kanak-kanak itu selamat.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...