Anak Tahu Siapa Saya, Kata Rozita Che Wan
Nama Rozita Che Wan antara selebriti tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Bukan sahaja terkenal dengan kejelitaan, tetapi peranan ibu kepada dua anak remaja tidak pernah sesekali diabaikan.
Wanita berstatus ibu tunggal ini juga turut dikenali kerana lakonan mantapnya dalam beberapa drama hebat seperti Kiah Perkasam, Sesuci Cinta Sofia, Anissa, Iparku Diva dan Goyang Syafiq.
Malah, biarpun ramai pelakon pelapis membanjiri industri, Rozita masih mempunyai tempat dan populariti tersendiri. Nyata, ibu kepada Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14, ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.
Semakin sibuk dengan kerjaya, aktres yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini mengakui bersyukur kerana masih diterima dalam dunia seni tanah air.
Jelas wanita yang usianya telah pun menginjak ke angka 41 tahun ini, rezeki yang diterima tidak pernah putus sejak bergelar pelakon.
“Alhamdulillah, saya selesa dengan kehidupan kini, saya tidak mempunyai masalah untuk menguruskan kehidupan dan membesarkan anak-anak. Yang penting makan dan minum mereka sentiasa ada.
“Sekarang pun, baru sahaja habis satu penggambaran, sudah ada tawaran lain yang menanti. Bagaimanapun, selain berlakon saya juga tidak lupa memberikan tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan. Harapan saya, keduanya mampu berjalan dengan seimbang,” ujarnya ramah ketika dihubungi Zass.
Berbicara mengenai karier dan anak, Rozita menegaskan, komitmen yang diberikan kepada karier bukanlah alasan dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.
Jelas aktres popular ini, anak tetap menjadi keutamaan dalam kehidupannya.
“Saya telah berkecimpung dalam bidang seni agak lama, malah sejak kecil anak telah biasa dengan kerjaya saya. Jadi, faktor tanggungjawab tidak pernah timbul.
“Sepanjang membesarkan mereka saya sentiasa memberikan yang terbaik, saya mahu mereka tahu saya sentiasa menyayangi mereka.
“Doa saya, hubungan dengan anak-anak kekal mesra, lagi pun setakat ini saya tidak pernah ada masalah dengan mereka,” katanya.
Diusik dengan pertanyaan adakah dia masih mempunyai waktu untuk bersama anak, jelas Rozita kesibukan bekerja tidak pernah membatas waktu untuk bersama anaknya.
“Memang saya sibuk dengan pelbagai penggambaran drama dan acara-acara lain. Bagaimanapun, saya masih berkesempatan berjumpa mereka.
“Selalunya, habis sahaja penggambaran saya akan terus pulang ke rumah. Jadi dapatlah saya meluangkan masa dengan mereka.
“Bila ada masa terluang atau cuti panjang, saya akan membawa makan malam selain bermain boling,” katanya.
Jelasnya juga, dia turut mengamalkan menyuap makanan kepada anak-anak untuk mengeratkan hubungan mereka.
“Anak saya memang macam tu, walaupun sudah berusia belasan tahun tetapi mereka tetap mahu disuapkan. Kalau tak suap nanti merajuk pula,” katanya mesra.
Tegas dengan anak
Tugas yang digalas sebagai seorang ibu dan pelakon tidak pernah meletakkan Rozita untuk menjadi ibu yang sambil lewa terhadap kehidupan seharian anaknya.
Menurut Rozita, apa sahaja yang dilakukan anaknya perlu mendapat keizinannya terlebih dahulu. Malah, Rozita mengakui sangat tegas apabila berhadapan dengan anak-anak.
“Memang saya manjakan mereka. Apa sahaja yang diminta pasti saya berikan. Bagaimanapun, masih ada batasnya.
“Saya tidak mahu mereka berasa terlalu mudah untuk mendapatkan sesuatu. Setiap yang saya berikan perlulah ada balasannya.
“Misalnya, saya letakkan syarat supaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Jika tidak, jangan berharaplah untuk meminta apa-apa daripada saya. Bukan hendak lokek dengan mereka, tetapi biarlah berpada-pada,” katanya.
Mahu anak jadi pilot
Bercerita mengenai masa hadapan Ammar dan Aniq, Rozita mengakui sebagai ibu, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik bagi kedua anaknya itu.
Ujarnya, sudah menjadi lumrah hidup setiap ibu di dunia menginginkan anak mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.
“Saya juga seperti ibu lain yang ingin melihat anak berjaya. Buat masa sekarang saya lihat mereka sangat berminat untuk menjadi juruterbang dan saya sendiri gemar dengan cita-cita mereka.
“Mungkin selepas tamat persekolahan, saya akan menghantar mereka untuk mendapatkan pendidikan yang lebih khusus dalam bidang itu,” katanya.
Ditanya adakah dia membenarkan anaknya untuk melibatkan diri dalam bidang seni, Rozita berkata, dia tidak pernah menggalakkan anak-anak untuk menjadi sepertinya.
“Terus-terang saya katakan biarlah anak terlibat dalam karier yang lebih profesional. Bukan tidak bagus menjadi artis namun sebagai lelaki mereka memerlukan satu kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan.
“Kalau anak perempuan, saya tidak kisah. Kerana perempuan boleh hidup dan bergantung kepada suami, sebaliknya lelaki tidak. Sampai bila mereka hendak bergelar pelakon. Itu pegangan saya,” katanya.
Anak tahu siapa saya: Rozita
Kontroversi yang melanda Rozita tidak kurang hebatnya. Bahkan ada sahaja khabar angin mengenai dirinya sejak terbabit dalam bidang ini. Pun begitu, dia dilihat cukup tabah dan tenang menghadapi kontroversi yang berlaku.
Namun bagaimana pula penerimaan kedua anaknya? Ditanya berkenaan perkara itu, tegas Rozita Ammar dan Aniq tahu siapa ibu mereka.
“Alhamdulillah, anak-anak sentiasa percayakan saya. Saya tiada sebarang masalah hendak menerangkan kepada mereka. Lagi pun, apa yang saya lakukan saya kongsi bersama mereka.
“Sepanjang bergelar selebriti memang ada perkara yang boleh melukakan hati dan perasaan mereka. Bagaimanapun saya lihat mereka tenang dan dapat menerimanya dengan baik.
“Saya yakin mereka sudah matang dan tahu apa yang benar. Lagi pun, sebagai anak mereka sentiasa menyokong saya. Cuma, saya harap anak-anak tabah berdepan dengan khabar angin dan gosip yang didengar mereka,” katanya.
0 comments:
Post a Comment