Hafiz AF Kena ‘Santau’ Dalam Mania?
KUALA LUMPUR – Pemilik dan penyanyi lagu Awan Nano, Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, menafikan dia terkena buatan santau dari pihak-pihak tertentu ketika dalam pertandingan program Mania.
Cerita mengatakan dia terkena santau timbul setelah prestasi persembahan Hafiz dalam program nyanyian itu terjejas dan terganggu.
Namun, menerusi mStar Online, Hafiz meluahkan cerita dia terkena satau orang adalah tidak berasas dan tidak masuk akal.
Malah, Hafiz beranggapan persembahannya sedikit terjejas kerana berasa tertekan untuk membuat persiapan untuk setiap cabaran dalam program Mania.
“Saya nafikan dakwaan itu. Saya tidak fikir ia (santau) berlaku sama sekali. Alhamdulillah, keadaan saya baik dan tiada apa-apa yang pelik dialami.
“Mungkin orang melihat prestasi saya agak merosot beberapa minggu lalu kerana tekanan yang dihadapi dalam pertandingan Mania tetapi ia tiada kaitan dengan perbuatan khianat pihak tertentu,” kata Hafiz.
Bagi Hafiz, sekiranya perkara tidak baik itu berlaku, dia berharap pihak-pihak tertentu dapat menghentikan tindakan tersebut memandangkan perbuatan itu adalah tidak baik di sisi agama.
Dia juga menegaskan, dirinya tiada kuasa untuk membalas perkara-perkara yang jahat dari pihak tertentu sebaliknya hanyalah menyerah kepada kuasa Tuhan.
“Kalau benar ada yang berniat jahat untuk melakukan begitu, adalah lebih baik dihentikan saja. Bukan saja perkara itu berdosa, malah ia tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa pun.
“Saya tidak ada hak untuk membalas, biarlah Tuhan saja yang membalasnya. Saya percaya setiap perkara hanya berlaku dengan izin-Nya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment