PETALING JAYA – Dua penjenayah dengan seorang bersenjata pistol hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan beg berisi pelbagai mata wang berjumlah RM100,000 dari sebuah premis pengurup wang berlesen di pusat membeli-belah Empire Gallery, Subang Jaya, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian 10.15 pagi itu, dua suspek tersebut mengacukan senjata api kepada pekerja premis berkenaan berusia 31 tahun di kaunter dan meminta pintu premis dibuka, 15 minit selepas premis itu memulakan operasinya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli, berkata ketika kejadian, pekerja berkenaan sedang membuat persiapaan operasi premis itu apabila didatangi dua suspek bertopeng lalu mengacu senjata api.
Katanya, suspek berkenaan dipercayai warga tempatan itu memaksa pekerja berkenaan membuka pintu premis itu lalu mengikatnya sebelum melarikan beg berisi wang itu.
Katanya, suspek dengan seorang memakai topi keledar bertutup penuh dan seorang lagi memakai topeng penutup hidung kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah Proton Waja yang menunggu di luar pusat membeli-belah itu.
“Pekerja premis itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu,” katanya.
Yahaya berkata, hasil rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan itu menunjukkan suspek berkenaan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan nombor pendafataran kereta berkenaan direkodkan.
Sementara itu, seorang pekerja kedai berdekatan yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata dua lelaki tersebut tidak menunjukkan kelakuan yang mencurigakan ketika melihat mereka di kaunter premis itu.
“Semasa itu saya, kawan saya dan seorang tukang cuci, kami mula-mula syak seperti ada sesuatu tetapi selepas diberitahu oleh tukang cuci tersebut yang mungkin dua lelaki itu sedang menjalankan urusan tukaran wang jadi kami terus buat macam biasa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment