KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan mangsa kes denggi yang dilaporkan bermula Januari sehingga 31 Mac lalu membabitkan golongan pekerja berusia antara 20 hingga 49 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, sebanyak 24 peratus lagi mangsa terbabit pula merupakan golongan pelajar iaitu berusia lapan hingga 17 tahun.
“Golongan ini keluar untuk bekerja atau belajar pada awal pagi antara pukul 5 hingga 7 pagi dan pulang lewat petang antara pukul 5 hingga 7 petang dan waktu ini adalah waktu aktif nyamuk Aedes menggigit.
“Oleh itu golongan ini dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memakai baju berlengan panjang dan memakai repelen bagi menghindari digigit nyamuk Aedes,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Hasan berkata, Kementerian Kesihatan juga menyeru semua masyarakat supaya meluangkan masa bersama-sama dengan jiran tetangga menjalankan aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan persekitaran rumah masing-masing.
Tambahnya, jawatankuasa penduduk juga perlu memastikan tempat-tempat tumpuan awam seperti taman permainan, surau, masjid serta balai raya bebas daripada pembiakan Aedes.
Jelas beliau, tindakan yang mudah itu dapat mencegah diri, ahli keluarga serta jiran tetangga dari risiko dijangkiti demam Denggi.
0 comments:
Post a Comment