MANCINI (dua dari kanan) mahu para pemain City fokus pada perlawanan menentang Arsenal, Ahad ini.
MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan, pasukan itu perlu memenangi kesemua tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana England musim ini.
City gagal memanfaatkan peluang terbaik untuk memimpin kedudukan teratas selepas keciciran tujuh mata sepanjang 12 perlawanan terakhir, sekali gus memberi laluan kepada musuh ketatnya, Manchester United.
Ketika ini, City menduduki tempat kedua selepas mengumpul 71 mata, ketinggalan lima mata di belakang United.
Bagaimanapun, City mampu merapatkan jurang itu sekiranya berjaya menewaskan Arsenal, Ahad ini.
Mancini mengakui yang peluang mereka untuk menjadi juara musim ini semakin tipis meskipun beliau menjangkakan kejayaan mengutip 92 mata sudah memadai bagi merampas gelaran itu daripada United.
City masih mampu memperbaiki kedudukan itu dengan memenangi kesemua baki tujuh perlawanan, termasuk pertembungan sejiran menentang United pada 1 Mei depan.
"Selepas perlawanan menentang Sunderland, saya memberitahu pemain bahawa saya percaya dengan kebolehan mereka. Kami masih memiliki baki tujuh perlawanan.
"Pada pendapat saya, kejayaan mengumpul 92 mata mampu membantu kami memenangi gelaran juara liga. Ia sangat penting kerana pertemuan menentang United bakal menentukan kedudukan kami.
"Saya sedar, situasi itu sukar kerana saya tidak fikir mereka (United) akan kehilangan enam mata tetapi yang paling mustahak, kami harus sentiasa yakin (United bakal tercicir mata)," kata Mancini.
Ketika ini, para penyokong City bimbang sekiranya pasukan itu gagal menjuarai gelaran liga buat pertama kali selepas memimpin kedudukan teratas selama lima bulan pada awal musim lalu.
Namun, Mancini menegaskan bahawa penyokong-penyokong harus memberikan kepercayaan kepada pasukan itu dan beliau yakin City mampu memintas United.
"Kini, fokus kami pada aksi menentang Arsenal penghujung minggu ini. Kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan yang akan menentukan hala tuju kami selepas ini," ujarnya. - Agensi
0 comments:
Post a Comment