CARROLL (dua dari kanan) menjaringkan gol kemenangan 3-4 Liverpool ke atas Blackburn awal pagi semalam.
LONDON - Andy Carroll menanduk masuk gol kemenangan Liverpool ketika menewaskan Blackburn Rovers 3-2 pada aksi Liga Perdana England di Ewood Park awal pagi semalam.
Jaringan pada masa kecederaan itu adalah gol pertama Carroll sejak Februari lalu, sekali gus menghadiahkan kemenangan ketiga buat skuad kendalian Kenny Dalglish pada tahun 2012.
Bagaimanapun, skuad The Reds terpaksa membayar dengan harga yang tinggi di atas kemenangan itu apabila penjaga gol, Alexander Doni dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Junior Hoilett.
Situasi itu menyebabkan Liverpool berdepan krisis penjaga gol menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Everton di Stadium Wembley, Sabtu ini.
Doni mengalami nasib yang sama dengan penjaga gol utama, Pepe Reina yang digantung tiga perlawanan selepas bertengkar dengan James Perch ketika Liverpool tewas 0-2 kepada Newcastle United, Ahad lalu..
Kini, penjaga gol ketiga, Brad Jones bakal diturunkan pada pertemuan menentang Everton selepas dia muncul wira dengan menyelamatkan sepakan penalti Yakubu Aiyegbeni pada minit ke-27.
Bagaimanapun, Dalglish sedar mengenai situasi itu dan berkata: "Saya tiada masalah mengenainya (Jones beraksi menentang Everton). Ia bukan satu masalah besar buat saya."
Berikutan itu, Liverpool mungkin memanggil penjaga gol skuad remaja mereka, Tyrell Bedford, 17, sebagai pemain simpanan.
Sementara itu, Dalglish memuji aksi cemerlang Carroll dan menjelaskan penyerang yang dikritik hebat itu tidak menghadapi sebarang masalah.
"Saya rasa, Carroll masih berkeyakinan tinggi dan dia memang layak diberi pujian di atas persembahannya malam ini (semalam).
"Dia bekerja keras dan menjaringkan gol yang hebat menerusi tandukan. Saya tidak rasa, dia mengalami krisis keyakinan.
"Saya rasa, kejayaan ini akan memberi kesan positif. Kami belum mencatat keputusan yang cemerlang tetapi kemenangan ini memberi suntikan semangat kepada pemain," kata Dalglish. - Agensi
0 comments:
Post a Comment