Searching...
Sunday, 22 April 2012
22:31 0

Lebih 20,000 Hadiri Kenduri Rakyat 1Malaysia



NIBONG TEBAL – Tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat dan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan lebih dekat, lebih 20,000 orang daripada pelbagai lapisan kaum dari merata kawasan di Pulau Pinang dan Perak menghadiri kenduri rakyat 1Malaysia di Kampung Simpang Tiga, Sungai Acheh di sini hari ini.

Kenduri Rakyat 1Malaysia, yang diadakan sempena lawatan kerja sehari pemimpin nombor satu negara di Pulau Pinang itu, berlangsung dengan meriah.

Najib ketika berucap berkata kehadiran orang ramai pada kenduri rakyat 1Malaysia itu adalah di luar jangkaan. “Ini kali pertama saya datang ke kawasan Sungai Acheh dan saya teruja dengan kehadiran orang ramai hari ini. Terima kasih atas sokongan semua walaupun cuaca yang sedikit panas, anda masih tetap tidak berganjak daripada majlis ini,” katanya.

Kenduri Rakyat 1Malaysia itu dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, bekas Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman.

Turut hadir pada kenduri yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 2 petang itu Pengerusi Badan Perhubungan MCA negeri Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Pengerusi MIC negeri L. Krishnan.

Beberapa pengunjung yang ditemui begitu teruja dapat menghadiri kenduri itu untuk bertemu dengan Perdana Menteri.

Mohd Fazil Dzulkifli, 40, berkata dia memang tidak sabar untuk datang ke kenduri rakyat 1Malaysia itu kerana ingin melihat Perdana Menteri dengan lebih dekat.

“Ini pertama kali Perdana Menteri datang ke kawasan Nibong Tebal, jadi saya mengambil peluang ini untuk datang kenduri rakyat,” katanya, yang datang bersama keluarganya dan keluarga adiknya.

Mohd Fazil, yang tinggal di Sungai Bakap, di sini berkata: “Kami mai naik dua buah kereta, keluar dari rumah pukul 9 pagi tadi bagi mengelak kesesakan, rupa-rupanya ada yang lagi awal daripada kami.”

Bagi Lee Min Nyuk, 31, yang tinggal di Part Buntar, Perak berkata dia dan empat rakannya datang sejak pagi tadi untuk bersama-sama meraikan Perdana Menteri di kenduri rakyat 1Malaysia itu.

“Saya dapat tahu Perdana Menteri nak datang Nibong Tebal minggu lepas selepas lihat kain rentang, jadi hari ini kami datang untuk lihat beliau di kenduri ini. Sangat gembira boleh tengok Datuk Seri Najib walaupun hanya dari jauh,” kata Lee, yang bekerja sebagai peniaga.

Siti Zainab Hussein, 22, berkata dia dan beberapa rakannya yang menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur mengambil peluang sempena cuti semester menghadiri kenduri rakyat 1Malaysia di kampungnya itu.

“Dua rakan saya dari Kelantan ikut saya pulang ke kampung di Nibong Tebal sejak semalam dan bila dapat tahu ada majlis kenduri ini dihadiri Perdana Menteri, kami datang untuk melihat beliau,” katanya. 


0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...