KUALA LUMPUR – Jaclyn Victor atau Jac tidak menganggap dirinya diva mahupun penyanyi yang paling bagus di kalangan peserta pertandingan nyanyian Mania yang lain biarpun dia merupakan bekas bintang kelahiran Malaysian Idol sewaktu ditemui di sini malam semalam.
Pada pertandingan Mania anjuran Astro Ria yang memasuki minggu keenam itu, Jac yang di bawah bimbingan Aubrey Suwito membuktikan dia sememangnya memberikan saingan hebat apabila mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi iaitu 13 berbanding 13 peserta lain.
“Sebenarnya, saya pun masih belajar dan apabila mendapat peluang menyertai Mania saya tidak lepaskannya begitu sahaja. Memang orang selalu nampak kalau saya menyanyi mikorofon mesti di atas kepala (menyanyi dalam nada tinggi) tetapi itu bukan bermakna saya terlalu bagus.
“Saya anggap semua peserta dalam Mania mempunyai bakat dan peluang yang sama rata untuk menang. Selagi saya masih menyanyi maka selagi itulah saya akan belajar dan proses pembelajaran itu antaranya ada dalam Mania. Saya juga menyertai Mania kerana mencari kepuasan,” ujarnya.
Mania musim pertama itu dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana kumpulan Jac yang dibimbing oleh Aubrey turut disertai oleh dua lagi penyanyi iaitu Adira Akademi Fantasi dan Alyah pada pertandingan yang menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 untuk juaranya.
Sementara itu Datuk M. Nasir pula membimbing lima penyanyi iaitu kumpulan Kristal, Shila Amzah, Hazama, Stacy dan Ebi, manakala komposer dari Indonesia, Ahmad Dhani pula mendidik lima anak buahnya iaitu Hafiz Akademi Fantasia, Akim, Estranged, Atilia dan Aril.
Pada malam konsert yang disiarkan secara langsung selama dua jam menerusi Astro Ria itu, dua peserta menjadi mangsa penyingkiran iaitu Atilia dan Akim kerana mendapat undian SMS terendah yang 100 peratus datangnya daripada para penonton yang menyaksikannya melalui televisyen.
Aubrey yang menjadi pembimbing Jac dalam Mania mengakui penyanyi yang bersuara lantang itu sangat versatil dalam membawakan apa juga jenis lagu termasuklah lagu Bruno Mars pada malam itu yang bertajuk Grenade dengan gaya serta penghayatannya sehingga mendapat tepukan gemuruh.
“Semua orang tahu vokal Jac memang dahsyat. Dia bukan sahaja boleh menyanyi dengan baik lagu-lagu yang dipopularkannya, malah sewaktu menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain. Malam ini Jac menyanyikan lagu itu 150 peratus lebih bagus daripada apa yang saya harapkan,” komennya.
0 comments:
Post a Comment