KUALA LUMPUR: Majlis perkahwinan pelakon Fasha Sandha, 28, dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 27 April ini, sebagaimana tercatat dalam kad undangan perkahwinannya yang akan mula diedarkan dalam masa terdekat.
Fasha yang dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) buat kali keenam, Ahad lalu berkata, majlis perkahwinannya akan diadakan secara tertutup membabitkan anggota keluarga serta kenalan rapat sahaja.
“Majlis ini kami lakukan secara tertutup membabitkan 300 jemputan termasuk keluarga dan teman rapat saja. Saya bersyukur dengan segala limpahan rezeki dan alhamdulillah akhirnya apa yang kami rancang dapat juga direalisasikan.
“Kad undangan kahwin sudah pun siap dan insya-Allah ia akan diedarkan tidak lama lagi, tapi saya minta maaf kerana masih tidak dapat memberitahu lokasi majlis diadakan kerana saya menghormati permintaan ibu bapa Rizal dan ibu bapa saya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Awal bulan lalu, Fasha selepas sekian lama berteka-teki, akhirnya mengesahkan mengenai perkahwinannya dengan Rizal selepas gambar mereka berdua menghadiri kursus perkahwinan tersebar di portal berita hiburan di Internet.
Namun, ketika itu pelakon yang baru pulang dari Paris selepas selesai penggambaran drama Seindah Sakura, masih enggan memaklumkan mengenai tarikh perkahwinan mereka.
Sementara itu, Rizal ketika ditanya perasaannya menjelang persiapan majlis perkahwinan mereka berkata, dia hanya inginkan sebuah majlis sederhana, tetapi meriah.
“Persiapan kami lakukan perlahan-lahan memandangkan jadual kerja masing-masing yang padat namun alhamdulillah semuanya hampir selesai. Insya-Allah kami akan mengedarkan kad dalam masa terdekat,” kata usahawan berusia 36 tahun yang menyifatkan Fasha seorang wanita yang melengkapkan hidupnya.
Ketika ditanya mengenai khabar angin mengatakan pasangan glamor ini akan mengadakan majlis resepsi gilang gemilang sama ada di Jakarta atau Pulau Bali, Indonesia pada Jun depan, Rizal berkata: “Biarlah kita lakukan mana yang wajib dulu. Majlis bersanding atau majlis lain kemudian,” katanya. - myMetro
0 comments:
Post a Comment