LONDON - Kejayaan Chelsea ke separuh akhir Liga Juara-Juara harus diketepikan seketika tatkala mereka cuba mencari kedudukan empat terbaik dalam kancah Liga Perdana Inggeris menentang Wigan di Stamford Bridge, hari ini.
Kelab dari London itu meneruskan aksi konsisten di bawah jurulatih sementara, Roberto di Matteo selepas mencatat kemenangan ke atas Benfica pertengahan minggu ini untuk menempah tiket ke separuh akhir bertemu penyandang juara, Barcelona.
Bagaimanapun, sebelum The Bluesbertemu kelab Catalan itu, mereka perlu menentang Wigan dan Fulham dalam tempoh 48 jam dalam saingan liga sebelum bertemu musuh terdekat, Tottentham Hotspur dalam saingan separuh akhir Piala FA.
Perlawanan yang melibatkan piala mendapat perhatian yang lebih tetapi untuk liga, ia agak tenat buat Chelsea yang mana mereka perlu merapatkan jurang lima mata di belakang pasukan tempat keempat, Spurs.
Mereka akan menentang Wigan untuk mendapat tempat terbaik selepas mempamerkan permainan mantap ketika menewaskan Stoke minggu lepas.
Chelsea tidak akan dibantu oleh ketua pasukannya, John Terry yang mengalami kecederaan pada minit ke-30 ketika menentang Benfica, Rabu lalu.
"Saya akan menjalani ujian imbasan dan kita akan lihat apa keputusannya. Ia memang amat mengecewakan. Anda perlu membiarkan ia sembuh. Saya fikir tidak apa-apa berlaku tetapi pada separuh masa kedua ia menjadi semakin teruk," kata pertahanan England itu yang patah dua tulang rusuk. - AFP
0 comments:
Post a Comment