DINOBATKAN sebagai Penyampai Radio Wanita Popular sebanyak lima kali, manakala Pengacara TV Wanita Popular untuk tujuh tahun berturut-turut menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), bukan `pasport' kepada Fara Fauzana, 32, mendabik dada.
Fara juga tidak menafikan, apa yang diperolehnya hari ini adalah atas sokongan padu daripada peminat tegar yang sentiasa menyokong kerjaya seninya sejak mula dia menyertai HotFM hinggalah ke hari ini.
Dia mempunyai kelab peminatnya sendiri, Fafau Fun Corner yang akan memastikan dirinya terus dinobat sebagai yang paling popular. Justeru, setiap kali Fara melangkah ke pentas ABPBH saban tahun untuk menerima trofi kemenangannya, dia tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih kepada kelab peminat yang mengundi dirinya. Dia juga mempunyai lebih 200,000 pengikut di laman sosial Twitter.
"Jika diizinkan Tuhan dan rezeki terus memihak, saya memang nak menang dalam ABPBH2011 kali ini. Saya tidak mahu mengecewakan peminat sekiranya gagal mempertahankan gelaran, " kata Fara yang sekali lagi tercalon untuk dua kategori, Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular.
Komen Fara mengenai penyampai radio mahupun pengacara TV hari ini yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, dia mempunyai pandangan yang agak sinis.
"Saya pernah menghadiri beberapa sesi uji bakat ketika HotFM mencari bakat baru sebagai penyampai baru-baru ini. Apabila ditanya kenapa nak jadi penyampai radio, sesetengahnya menjawab nak popular seperti Fara Fauzana!
Bagi saya, niat mereka nak bergelar penyampai radio dah tak betul. Mereka bukannya berminat dalam bidang penyiaran pun, sebaliknya lebih mencari populariti! "Bagi saya populariti tidak perlu dicari, ia akan datang dengan sendirinya jika kita bersungguh-sungguh memacu kerjaya. Sudah terbukti, ada di kalangan penyampai radio yang niatnya hanya ingin popular apabila menyertai bidang penyiaran, riwayatnya tidak lama di stesen radio berkenaan," kata Fara yang kini bergelar pengacara Nona di TV3 sejak awal tahun.
Bercakap mengenai jodoh, Fara menjelaskan, tidak mahu menetapkan sebarang tarikh bila dia akan menamatkan zaman solonya kerana pada usia 30 tahun, beliau belum lagi membina rumah tangga apabila berhasrat mengikut jejak langkah idolanya, penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain yang menempuh gerbang perkahwinan pada usia itu ketika namanya masih berada di puncak.
"Sekarang saya dah masuk 32 tahun, terserahlah pada jodoh. Saya reda, ikhlas, bukan pasrah itu terpaksa," kata Fara berseloroh sambil meniru sedutan dialog yang dipetik dalam filem Ombak Rindu.
Sementara itu, Artis Baru Lelaki Popular pada ABPBH2009, Hanifah Mohd Hanafiah atau Black, 25, tidak berselindung apabila mengakui sudah putus cinta dengan teman wanitanya, seorang pensyarah bahasa Inggeris kira-kira tiga bulan lalu selepas tiga tahun menyulam cinta apabila mendakwa tiada lagi persefahaman antara mereka.
"Saya terlalu sibuk dengan kerja, begitu juga dengan dia, akhirnya kami mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri. Hubungan itu tidak dapat diselamatkan kerana komunikasi antara kami semakin berkurangan, kami jarang berhubung dan berjumpa, jadi jalan terbaik adalah perpisahan," kata Black yang tercalon bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH2011.
Difahamkan, sebaik saja Black memutuskan perhubungan dengan gadis bertudung itu, hari ini dia sudah pun bertemu pengganti.
"Kami belum lagi ke fasa bercinta, baru berkawan baik. Dia adalah jiran di kawasan perumahan saya di Pantai Dalam. Biarlah saya memperkenalkan dirinya sebagai S saja. Sebenarnya saya masih trauma untuk menempuh alam percintaan dalam waktu terdekat ini. Saya masih teringat kekasih lama, berilah saya masa untuk melupakan kenangan silam.
"Jika diizinkan Tuhan, saya nak serius dengan S, namun biarlah masa yang menjadi penentu. Saya selesa berkawan dengan S lebih-lebih lagi apabila keluarga S menerima saya seadanya. Bagi saya, perhubungan yang direstui keluarga kedua-dua belah pihak, akan diberkati apabila kami merancang untuk melangkah ke fasa yang lebih serius selepas ini, insya-Allah," katanya lagi.
Bercakap mengenai ABPBH, Black boleh dikategori sebagai Top 5 yang rajin menyertai siri jelajah promosi ABPBH hampir ke setiap destinasi, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia tewas di tangan Faizal Tahir pada ABPBH2010 dan beliau juga tidak meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang trofi Penyanyi Lelaki Popular ABPBH2011 apabila sekali lagi menerima saingan daripada Faizal Tahir dan nama besar seperti Anuar Zain.
"Saya tak fikir sangat mengenai kemenangan, tapi saya bersyukur apabila menjadi finalis ABPBH untuk tiga tahun berturut-turut, sekali gus berpeluang menyertai road tour ABPBH, boleh jelajah satu Malaysia! Seronok pergi road tour ni, bukannya kena bayar apa-apa pun, sebaliknya berpeluang mendekati peminat yang selama ini sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya nyanyian saya.
"Seperkara lagi, saya masih Black yang dulu, tak pernah berubah. Saya pernah hidup susah, sekarang apabila dah senang sikit, saya tahu betapa peritnya mencari kesenangan. Setinggi manapun nama dijulang, saya tetap berpijak di bumi yang sama. Tuhan memberi saya kelebihan vokal, bukan paras rupa, Alhamdulillah, saya mampu menyara keluarga," kata Black yang kini popular menerusi single terbarunya, Dewi Aleeya.
0 comments:
Post a Comment