PELBAGAI kontroversi dan khabar angin yang menimpa pelakon 'Azura 2012' ini, itu belum kira lagi dengan kontroversi hubungannya dengan beberapa pelakon wanita tempatan. Terbaru cerita masalah disiplin yang sering ditimbulkan ketika berada di set penggambaran. Ketika sesi sidang akhbar pelancaran drama slot Lestary yang berjudul '3 Janji', media mendapatakan penjelasan menyeluruh mengenai masalah yang menimpa pelakon ini.
“Sejak akhir-akhir ini, saya ada masalah bangun lambat. Saya sendiri pun tak tau kenapa saya bangun lambat,” katanya memulakan perbualan.
Shahz Jaszle menjelaskan walaupun dia sudah menyediakan loceng jam untuk bangun pagi, namun dirinya masih tetap sukar untuk bangun tidur. Masalah ini dikatakan berpunca dari Shahrizal sendiri yang mengaku bahawa dia sukar untuk tidur awal. Disebabkan itu, Shahrizal mengambil nasihat kakaknya yang juga seorang doktor.
“Kakak saya ada memberikan saya pil supaya senang tidur, namun setelah memakannya, hampir 2 hari pula saya tidur,” jelasnya lagi.
Shahz Jaszle ketika ditanya adakah dia ada mengambil jalan untuk menyelesaikan masalah yang menimpa dirinya ini, jelasnya, dia akan cuba mengatasi masalah ini sendiri. Dia turut menjelaskan bahawa isu putus cintanya dengan Miera Liyana juga bukan punca dia bangun lambat.
Dalam pada itu, Shahz Jaszle telah diberi kepercayaan oleh pengarah drama '3 Janji', Heykal Hanafiah, untuk membawa watak Kursyi dan digandingkan bersama Liyana Jasmay untuk drama bersiri 13 episod ini.