TAIWAN – Seorang lelaki warga Taiwan telah ditahan kastam negara itu sekembalinya dari melawat Vietnam apabila menyembunyikan sebanyak 67 ekor burung di dalam seluar yang dipakainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan baru-baru ini.
Menurut laman web wantchinatimes.com, beberapa pegawai kastam Taiwan mengesyaki ada yang tidak kena pada lelaki tersebut apabila melihatnya berjalan dalam keadaan yang pelik dan bertindak menahannya untuk tujuan siasatan.
Ketika mendekati lelaki itu, pegawai kastam bertugas agak terkejut apabila mereka terdengar bunyi kicauan burung dari dalam seluarnya.
Hasil siasatan, sebanyak 67 ekor burung jenis Jepun Mata Putih (zosterope japonicus) ditemui di dalam seluarnya itu dan dia ditahan atas tuduhan cuba menyeludup masuk ke Taiwan haiwan spesis berkenaan secara haram.
Menurut sumber lagi, seluar yang dipakai lelaki itu telah diubahsuai di bahagian dalamnya dan dijahit dengan getah bagi tujuan mengikat burung-burung yang rata-ratanya berukuran dari 7 sentimeter hingga 9 sentimeter itu dari terlepas lari.
Ketika ditahan pegawai kastam berkenaan, beberapa ekor anak burung itu telah mati dalam ikatan getah tersebut.
Meskipun burung spesis berkenaan bukanlah dari jenis spesis terancam, pihak berkuasa Taiwan melarang sama sekali kemasukannya secara haram di negara itu dan lelaki tersebut didakwa atas kesalahan Akta Kawalan Pencegahan dan Jangkitan Penyakit Haiwan.
0 comments:
Post a Comment