Searching...
Monday, 26 March 2012
13:22 0

M.Nasir Tidak Kisah Hafiz Menjadi Milik Ahmad Dhani



RAMAI yang pasti mengandaikan penyanyi Awan Nano, Hafiz akan jatuh ke empayar produser tersohor, Datuk M Nasir pada konsert minggu kedua Mania Sabtu lalu namun realitinya dia menjadi milik Ahmad Dhani. Harapan untuk melihat mereka berkolaborasi semula juga nampaknya tidak akan kesampaian dalam Mania selepas ia diputuskan begitu.

Rezeki penyanyi berambut afro ini nyata lebih memihak kepada vokalis kumpulan Dewa itu dan selama 10 minggu dia akan menjadi anak murid Ahmad Dhani. Terkenal dengan kekuatan pada lagu berentak balada, transformasi dan suntikan yang bagaimanakah akan digunakan Dhani untuk evolusikan Hafiz menjadi Superstar? 

Mendendangkan lagu Permintaan Hati nyanyian asal kumpulan Letto, inisiatif tidak terlalu mencuba Hafiz dalam konsert kali ini dilihat amat berpatutan. Lari sedikit dari kepompong lagu bervokal tinggi, semenang dua tahun berturut-turut kategori Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) tetap kemas pada nyanyiannya. 

Itulah antara ‘kejutan’ awal untuk konsert pemilihan kedua terbabit yang diadakan di Studio 1, Astro Bukit Jalil. Tirai persembahan yang dibuka oleh Meet Uncle Hussain feat Shah AF dengan lagu Drama King itu menyaksikan tiga lagi penyanyi iaitu Adira, Alyah dan kumpulan Kristal akhirnya mendapat jawapan siapa produser mereka. 

Menjadi peserta pertama, Kristal yang tampil berpakaian serba hitam sememangnya berjaya menghidupkan studio dengan nyanyian Opera Hidup (Wings). Cukup bertenaga, nampaknya kehadiran lima anak muda ini menjadi pencabar dalam program ini tidak harus diperlekehkan kerana di awal konsert saja mereka sudah membuktikan kerja-keras menerusi persembahan hebat itu. Tidak hairanlah M Nasir yang pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini tidak teragak-agak mengambil Kristal masuk dalam empayarnya. 

Sinonim dengan vokalnya yang lantang, nyanyian penyanyi kecil molek, Adira menerusi lagu berhantu, Pulangkan iaitu nyanyian asal Misha Omar bagaimanapun tidak menunjukkan sisi berbezanya. Gemar menyanyikan lagu balada, Dhani berpendapat genre Pop adalah amat sesuai kepada Adira yang akhirnya dipilih oleh Aubrey Suwito sebagai artis pertama untuk empayarnya. 

Tampil dengan kelainan pada malam itu, penyanyi Kisah Hati, Alyah tampak cukup selesa tatkala mendendangkan Russian Roullette milik Rihanna. Bukan saja pada persembahan, setiap kali penyanyi kelahiran Johor ini menakluk pentas, fesyen yang digayakannya juga tidak mengecewakan. Persembahannya kali ini yang disertai beberapa penari memang diakui mempunyai kelas tersendiri dan pada malam itu dia diputuskan menjadi pilihan Aubrey Suwito. 

Turut diumumkan pengacara, Aznil Nawawi pada malam itu adalah peserta hot seat kedua yang berjaya meraih undian tertinggi iaitu penyanyi kelahiran program Mentor, Chaq. Membawa rombongan penyokong yang agak ramai pada konsert berkenaan, jejaka kelahiran Sabah itu nampaknya selesa memilih lagu adiknya sendiri, Stacy iaitu Gagap dan menonjolkan tarian sebagai identitinya. 

Bagaimanapun, Aznil bertindak tidak mengumumkan di empayar manakah Chaq akan sertai dan teka-teki itu hanya akan terjawab di konsert pemilihan terakhir pada Sabtu ini. 

Dengan pemilihan minggu kedua, selepas Hafiz menjadi artis keempat Ahmad Dhani selepas Atilia, Akim dan kumpulan Estranged, sekali gus kuota untuknya memilih kini sudah lebur. Segala-galanya sekarang terserah kepada pihak produksi untuk menentukan siapakah peserta hot seat yang akan menyertai empayar produser berkenaan. 

Manakala, setakat ini M Nasir sudah mempunyai tiga artis di bawahnya iaitu Stacy, Ebi dan Kristal. Aubrey Suwito pula ternyata berpuas-hati dengan pemilihan dua penyanyi wanita hebat, Adira dan Alyah masuk dalam kumpulannya. 

Semakin hampir kepada pertarungan sebenar yang akan bermula pada minggu keempat nanti, kini hanya tinggal empat peserta lagi iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah, Awi Rafael dan Hazama perlu dipilih dua produser berkenaan. Selain itu, peserta hot seat ketiga yang berjaya juga hanya akan diketahui pada konsert Sabtu ini yang akan menyertai Ebi dan Chaq bersaing dengan peserta sedia ada. 

Sementara itu, M Nasir ketika sidang media berkata, dia melihat persaingan sengit sudah mula dirasakan kini dan tidak kisah Hafiz bukan menjadi miliknya. 

“Saya tiada masalah Hafiz jatuh ke tangan Dhani. Lagipun dari awal lagi kami semua sudah tahu formatnya bagaimana. Hafiz memang seorang peserta yang berbakat besar, itu tidak dinafikan. Tapi soal siapa dapat siapa bukannya isu di sini kerana apa yang penting adalah hala tuju serta peningkatan seseorang peserta itu dalam pertandingan itu nanti. 

“Dengan mandat yang diamanahkan kepada kami selaku produser, tugas kami hanyalah mencurahkan segala pengetahuan kepada mereka dan berusaha menukar mereka kepada superstar,” ujarnya. 

Ahmad Dhani pula mengakui sedikit terkilan apabila gagal mendapatkan Alyah yang akhirnya jatuh ke empayar Aubrey. 

“Kami semua mahukan Alyah. Secara peribadi juga, kalau diberikan peluang saya memang ingin bekerjasama dengannya. Dia bukan saja mempunyai vokal serta corak persembahan yang hebat malam dia jelas peka dengan arus lagu-lagu terkini dan saya amat menyukai aspek itu. Selain Alyah juga, Stacy antara yang mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam program ini,” katanya.
Produser Yang Akan Betanggungjawab Menjadikan Artis
Di Bawah Empayar Mereka Menjadi Superstar 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...