KUALA LUMPUR – Johan Raja Lawak masih belum menerima sebarang surat saman atau tuntutan maaf daripada peguam Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.
Dia juga setakat ini mengambil pendirian untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut berhubung isu itu kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih panas.
“Buat masa ini, saya belum menerima apa-apa surat saman. Saya tidak mahu komen lebih-lebih mengenai perkara ini. Jika saya ada apa-apa program melibatkan media, baru saya bersedia untuk memberikan kenyataan kerana saya mahu adil pada semua teman media.
“Saya tidak mahu ulang benda sama banyak kali. Biar kita duduk pada suatu tempat yang sama, tanyalah apa pun, saya bersedia untuk menjawab,” katanya seperti yang disiarkan akhbar Sinar Harian.
Ogy sebelum ini dilaporkan bakal mengambil tindakan saman terhadap Johan atas beberapa insiden ketika sama-sama menjadi pengacara di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM 24), baru-baru ini.
Difahamkan bahawa Ogy telah berbincang dengan peguam peribadinya untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Johan kerana mempersendakan kedua arwah ibubapanya, mempermainkan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dan memperkecilkan dirinya sebagai pelakon yang lebih senior.
Ogy juga menyifatkan kenyataan-kenyataan Johan itu sebagai kurang ajar, satu penghinaan dan beliau tidak mampu untuk bertolak ansur dengan kebiadapan pasangan pengacaranya malam itu.
“Dia memang kurang ajar. Bukan setakat bakat saya, malah arwah ibu dan bapa saya turut dipersenda sesuka hati. Namun yang paling saya terkilan, dia boleh mempersendakan Tahun Gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW junjungan kita.
“Ini satu penghinaan dan saya tak boleh bertoleransi dengan orang yang biadap seperti itu,” katanya.
Bagaimanapun, hasrat Ogy itu disambut dingin peminat industri hiburan tanah air apabila beranggapan Ogy kelihatan lebih huduh apabila terkinja-kinja di atas pentas pada malam itu.
Ramai yang melihat Ogy gagal mengawal diri dan majlis itu.
Wujud juga ironi dalam isu ini apabila Ogy juga pernah dikenakan saman oleh Azwan Ali kerana satu kenyataannya semasa mengacarakan program Melodi satu ketika dulu.
Azwan Ali walau bagaimana pun tidak berjaya dalam tuntutan samannya itu.
0 comments:
Post a Comment