Searching...
Thursday 14 June 2012
20:38 0

'Saya Hairan, Kenapa Hanya Saya Seorang Yang Dia Saman' - Anzalna, Mahu Selesai Cara Baik

KUALA LUMPUR 13 Jun - Pelakon drama bersiri Indera Joned, Nur Anzalna Nasir akan memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan kontroversi antara dia dan Neelofa dalam tempoh tujuh hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia belum menerima sebarang notis tuntutan penjelasan daripada pihak Neelofa.

Mengakui tidak takut dengan sebarang tindakan yang bakal diambil terhadapnya, Anzalna turut menegaskan, dia bersedia bersemuka dengan pelakon dan pengacara itu.

"Benda ini perkara kecil sahaja. Boleh dibawa berbincang. Tak perlulah nak saman menyaman.

"Saya hairan juga kenapa saya seorang yang ingin disaman. Kenapa tak saman akhbar yang terbitkan cerita itu sekali?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Neelofa hari ini memberikan tempoh selama tujuh hari kepada pelakon tersebut untuk tampil dengan penjelasan dan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Menurut Anzalna, biarpun dia mempunyai bukti yang Neelofa memfitnahnya namun menegaskan tidak mahu memanjangkan perbalahan dan sanggup meminta maaf kepada pengacara Nona itu.

Malah dia positif dan tidak gentar sekiranya pernyataan maafnya itu nanti akan membuatkan khalayak memandang serong terhadapnya dan menganggap dia bersalah.

"Orang di dunia ini hanya pandai menilai tetapi Tuhan Maha Mengetahui, tahu yang mana benar dan yang mana salah.

"Dan sebagai orang Islam, walaupun saya tahu saya benar, saya sanggup merendah diri dan dengan ikhlas memohon maaf.

"Industri ini tak besar manapun. Saya tidak kisah untuk bersemuka dengan Lofa, memberi penjelasan dan meminta maaf untuk tidak memanjangkan cerita.

"Saya terima dengan hati terbuka untuk berbincang secara baik," katanya yang mengakui tidak tertekan dengan kontroversi tersebut malah mengambil perkara tersebut secara positif.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...