Searching...
Monday 11 June 2012
21:58 0

Siapakah Gerangan, Artis Janda Hot Malaysia Yang Sudah Bersedia Menjadi Isteri Kedua!

POLOS wajahnya tanpa solekan saat pertemuan pertama kami tempoh hari sempena sesi penggambaran muka depan Pancaindera keluaran minggu ini.

Sambil menyua tangan untuk berjabat salam, dia kemudiannya ceria memperkenalkan diri.

“Hai, saya Wan Sharmila!" sepertinya dia bukan seorang pelakon yang dikenali ramai.

Pun begitu, ia sekali gus menyerlahkan keperibadian Wan Sharmila Wan Muhammad yang lebih selesa bersikap merendah diri walau sudah menempa nama sebagai seorang pelakon yang tidak kurang hebatnya.

Usai disolek mampan, jelitanya makin terserlah.

Hampir lupa bahawa wanita ini sudah pun mencapai usia 31 tahun.

Namun air mukanya sedikitpun tidak mencerminkan usia sebenarnya itu. Muda sungguh!

Tuan punya badan juga turut mengiyakan hal ini saat diaju pertanyaan mengenai mereka yang mungkin keliru dengan usianya saat pertama kali bertemu.

“Jangan bimbang, saya dah biasa dah dengan situasi bila mana orang sering tersalah meneka usia sebenar saya.

“Banyak yang ingat saya ni masih remaja lagi kalau tengok dari luaran. Mereka kata saya nampak muda dan macam budak-budak.

“Bila saya beritahu usia sebenar, mereka terkejut. Tapi untung juga ya. Kalau selalu begini, bolehlah saya selalu nampak muda!" seloroh wanita ini yang senang dipanggil Lala.

Atmosfera ceria terus mewarnai sesi penggambaran kami sepanjang hari itu.

Lanjut memuji paras rupanya, terlintas di fikiran mengapa wanita secantik Lala masih belum bertemu cinta.

Bukan apa, dengan pakej yang dimilikinya, tentu sahaja Lala boleh mendapatkan mana-mana lelaki yang dimahukan andai kata dia benar mahu mencari calon suami buat mengisi kekosongan di hati.

Apalagi setelah hampir tiga tahun dia hidup menjanda lantaran perkahwinannya dengan penerbit dan pemilik Radius One, Fazli Baharom, tidak mampu bertahan lama.

Ketika ini cuma senyuman yang terukir di bibir Lala bagai tahu dia akan ditebak dengan soalan begini.

Mengaku bahawa bukan seorang dua yang cuba mengetuk pintu hatinya, Lala bagaimanapun lebih suka untuk berhati-hati apabila soal jodoh menjadi akar umbi bicara.

“Kalau ditanya bila saya nak kahwin, mahu saja saya katakan, kalau boleh esok saya nak kahwin! Tapi realitinya siapa yang nak kahwin dengan saya? Teman lelaki pun saya tak ada, inikan pula nak bercakap soal kahwin.

“Adalah yang cuba-cuba nak mendekati saya, tapi terus-terang saya cakap, setiap kali saya cuba keluar dengan mana-mana lelaki, saya tak boleh lari daripada memikirkan bermacam-macam benda negatif.

“Contohnya, betul ke dia ni serius atau nak main-main saja? Betul ke dia ni orang yang tepat? Macam-macam yang saya fikirkan. Sudahnya saya ibarat wanita yang fobia dengan lelaki.

“Tapi jauh di sudut hati, memang saya mahu kahwin lagi. Lagipun usia saya semakin menginjak. Saya pun tak mahu menunggu lama lagi," katanya.

Lala isteri kedua
Anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini mengaku sungguhpun dia adalah seorang yang peramah dan gemar ketawa, namun ia bukanlah satu tiket untuk dia mudah mendekatkan diri dengan lelaki.

Tambahan pula dengan sikapnya yang lebih gemar untuk duduk di rumah jika ada kelapangan dan tidak terikat dengan sesi penggambaran drama dan sebagainya.

“Jadi bayangkanlah, macam manalah saya nak ada teman lelaki kalau saya asyik berkurung di rumah kalau tak ada kerja?

“Tak tahulah. Hendak kata saya ni anti-sosial tidak juga sebab saya suka berkawan. Tapi mungkin juga kerana saya ni jenis yang lebih suka duduk di rumah.

“Kebanyakan masa saya selalunya berseorangan dan banyak buat hal sendiri. Nak jumpa kawan serumah pun susah. Sebab kami masing-masing mempunyai waktu kerja yang tak sama dan sibuk," katanya.

Terbuka berkongsi rasa mengenai sejauh mana ikhlasnya dia jika satu hari kelak dia ditakdirkan menjadi isteri kedua, Lala sedikit pun tidak menunjukkan reaksi kurang senang.

“Eh, saya sanggup!" pantas mulutnya memberi respons.

Bagi Lala, menjadi isteri kedua bukanlah satu kesalahan buat kaum wanita andai itu takdir dan jalan yang telah ditentukan oleh Tuhan ke atas dirinya.

Meski memberi kata setuju, tidak bermakna semua lelaki hidung belang di luar sana boleh sewenang- wenangnya cuba memikat pelakon drama bersiri Tari Tirana ini.

Jangan sangka status suami orang mudah diterima Lala andai syarat yang diletakkan wanita ini tidak berjaya dilengkapi dan ditepati dengan baik.

“Saya sanggup menjadi isteri nombor dua kalau lelaki terbabit boleh berlaku adil.

“Saya juga tidak mahu wujudnya masalah antara saya dengan madu kalau lelaki itu benar-benar mahu saya menjadi isteri keduanya.

“Maksudnya, kalau nak kahwin, tak perlulah nak sorok-sorok. Biarlah semuanya berjalan dengan lancar sebab saya ni memang jenis yang tak suka ada masalah, "katanya.

Positif dengan kehidupan bermadu dan berkahwin dengan suami orang, Lala punya alasan untuk tidak mengendahkan persepsi masyarakat yang mungkin akan memandang serong padanya.

Kata Lala, andainya itu berlaku, dia tidak mampu menghalang mulut orang dari berkata kerana masing-masing punya prinsip sendiri.

“Alahai...sedangkan saya jadi janda pun orang dah pandang semacam, inikan pula kalau betul saya ni kahwin dengan suami orang.

“Kalau terlalu memikirkan apa orang cakap, susahlah kita nak hidup. Betul tak? Buat saja apa yang kita rasa kita nak buat," katanya.

Pun begitu, ini cuma anggapan `kalau’ Lala jadi isteri kedua orang.

Setakat ini, akui Lala, belum pernah suami orang cuba mendekati dirinya apalagi cuba menyuntingnya menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat.

“Macam yang saya cakap tadi, mungkin mereka ingat saya ni budak-budak. Sebab itulah tak ada yang berani nak mendekati saya," katanya yang mengaku sedang mencari lelaki yang boleh membimbingnya menjadi individu yang lebih baik.

Takut digam
Menyelami perjalanan karier Lala sebagai seorang pelakon sejak empat tahun serius berkecimpung dalam bidang seni lakon tanah air, tidak banyak perubahan yang dapat dilihat.

Kebanyakannya hampir sama watak yang dibawa.

Dalam erti kata lain, balik-balik watak antagonis sahaja yang dibawa Lala. Semacam tiada variasi.

Akui Lala, dalam hal ini, sebagai seorang pelakon, dia sebenarnya tiada pilihan.

Walau seringkali orang menganggap seseorang pelakon itu boleh membuat pilihan sendiri, hakikatnya banyak perkara yang perlu ditimbang-tara.

“Saya tak pasti pelakon lain bagaimana. Tapi biasanya saya tak pandai untuk menolak andai tawaran yang saya terima itu memang memerlukan saya memegang watak jahat.

“Mungkin pada pandangan pihak penerbit dan pengarah, Wan Sharmila sesuai bawa watak gedik dan jahat, itu penilaian mereka.

“Saya pula tak pandai nak caras watak orang lain. Kalau itu watak yang diberikan, maka itulah yang saya terima," katanya.

Dalam pada itu, kata pelakon Si Jundai ini, meski hatinya memberontak untuk mencuba watak lain, dia terpaksa akur dengan `budaya’ dalam industri yang mungkin tidak difahami orang luar.

“Bidang ini lain. Kalau sekali kita menolak tawaran tanpa sebab yang kukuh, seseorang pelakon itu berkemungkinan besar akan berhadapan dengan masalah `digam’ tanpa sedar.

“Iyalah, kalau memilih sangat, nanti orang kata kita ni cerewet. Padahal bukan pelakon popular sangat.

“Saya selagi boleh tak mahu mencari masalah dengan orang atau menyusahkan pihak penerbit dan sebagainya. Lagipun saya bukan diva," katanya merendah diri.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...